Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
IGP: Pasukan keselamatan berhati-hati buru musuh

Pasukan keselamatan menjalankan gerakan memburu musuh secara berhati-hati selepas melancarkan serangan pagi ini ke atas Kampung Tanduo di Lahad Datu, Sabah, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar.

Katanya, operasi itu meliputi kawasan seluas 4 km persegi dan beliau percaya masih terdapat musuh dalam kawasan tersebut.

Bercakap dalam sidang akhbar di Felda Sahabat di Lahad Datu petang ini, Ismail berkata, beliau telah mengarahkan komander supaya berhati-hati bagi memastikan keselamatan anggota polis dan tentera.

Katanya, beliau tidak mahu melihat anggota pasukan keselamatan menjadi mangsa.

Oleh itu, katanya, gerakan sedang dijalankan secara berhati-hati di kawasan dengan muka bumi yang mencabar itu.

Beliau juga menafikan dakwaan dalam laporan media Filipina bahawa mayat penceroboh diperlakukan tanpa perikemanusiaan.

"(Kenyataan) itu tidak tepat sama sekali. Saya dukacita dengan laporan itu, sepatutnya mereka merujuk kepada pihak rasmi," katanya.

Menurut Ismail lagi, saki-baki musuh dipercayai masih bersembunyi di Kampung Tanduo, berhampiran Felda Sahabat 16, kira-kira 130km dari Lahad Datu.

Beliau hanya menjawab satu soalan wartawan sebelum mengakhiri sidang akhbar tersebut.

Pasukan keselamatan Malaysia memulakan serangan pada jam 7 pagi tadi dengan serangan udara menggunakan tiga pesawat jet pejuang F18 sebelum anggota keselamatan bergerak masuk ke kampung tersebut.

Sementara itu, Bernama melaporkan ketika dihubungi Ismail berkata kawalan keselamatan di daerah Semporna yang terletak berhampiran Lahad Datu, diperketatkan ekoran serangan ke atas penceroboh bersenjata di Kampung Tanduo, Lahad Datu.

    

Beliau memberi jaminan kepada penduduk di kawasan sekitar bahawa keadaan keselamatan di daerah ini, yang terletak kira-kira 200 kilometer dari Lahad Datu, adalah terkawal.

    

Ismail berkata operasi yang dijalankan pihak keselamatan di kawasan itu tidak menjejaskan keselamatan penduduk di Semporna yang rata-rata melahirkan kebimbangan mungkin berlaku serangan balas oleh pihak penceroboh di kawasan itu.

    

"Kami telah mengetatkan kawalan keselamatan di daerah Semporna terutama di kawasan Kampung Simunul. Pegawai dan anggota polis telah bersiap-sedia dari pelbagai aspek, jadi saya minta orang ramai jangan panik," katanya.

Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak mudah percaya dengan khabar angin yang disebar pihak tidak bertanggungjawab, sambil menegaskan bahawa langkah keselamatan yang diatur pasukan keselamatan adalah yang terbaik.

    

Orang ramai hanya sentiasa perlu mendapatkan maklumat yang sahih dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna agar berita yang tepat dapat disalurkan, katanya.

    

Sementara itu Ketua Polis Daerah Semporna DSP Mohd Firdaus Francis Abdullah berkata keadaan di daerah Semporna dalam keadaan baik dan orang ramai diminta sentiasa menghubungi IPD Semporna di talian 089781244 bagi mendapatkan maklumat

sebenar.

    

Dalam pada itu, tinjauan Bernama ke  Pekan Semporna mendapati rata-rata penduduk melahirkan kebimbangan mengenai situasi di Kampung Tanduo yang mungkin menjadi sasaran serangan balas daripada kumpulan penceroboh.

    

Moses Tan, 35, berkata keadaan di Kampung Tanduo mungkin boleh merebak ke Semporna.

    

Bagaimanapun, beliau melahirkan keyakinan situasi itu mampu dikawal pasukan keselamatan dengan cekap.

Bernama juga melaporkan bahawa keadaan keselamatan di sekitar bandaraya Kota Kinabalu berada di tahap sempurna, aman dan tidak berlaku perkara yang mencurigakan.

    

Sehubungan itu, Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu ACP Jauteh Dikun menasihati orang ramai agar tidak mempercayai semua khabar angin, terutama berkaitan soal keselamatan, yang banyak disiarkan dalam laman sosial termasuk facebook.

    

"Orang ramai tidak perlu rasa takut atau panik kerana berita-berita yang disebarkan adalah daripada sumber yang tidak sahih," katanya pada sidang media hari ini, yang turut dihadiri Datuk Bandaraya Kota Kinabalu yang juga Pengerusi Keselamatan Datuk Abidin Madingkir.

    

Sehubungan itu, Jauteh mahu orang ramai supaya terus menghubungi polis jika menerima berita yang meragukan melalui nombor hotline 999, 088-221191 dan 088-318843 serta mana-mana pondok polis yang berdekatan bagi mendapatkan maklumat sahih.

    

Mengenai khabar angin pendaratan 150 penceroboh di Sepanggar yang tersebar luas melalui laman sosial, beliau menegaskan bahawa maklumat itu adalah palsu tetapi pihaknya tetap akan mengambil tindakan untuk menyiasat.

"Kesan penyebaran isu tersebut orang ramai telah membeli banyak barang keperluan terutamanya beras dan makanan segera...keadaan seumpama ini yang kita mahu elakkan," katanya.

    

Jauteh berkata masyarakat yang berasal dari Filipina di Kota Kinabalu turut memberi kerjasama kepada polis dan mereka juga

tidak suka apa yang berlaku di Lahad Datu yang menurut mereka menjejaskan  aktiviti harian untuk mencari rezeki.

   

ADS