Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar berkata pasukannya hanya akan "menemuduga" bapa Saiful Bukhari, Azlan Mohd Lazim dan tidak akan membuka semula siasatan ke atas kes Liwat II.

Katanya, kenyataan Azlan tiada kena mengena dengan kes Liwat II, yang menurutnya sudah selesai.

NONE "(Kenyataan Azlan) tidak ada kena mengena dengan kes itu, cuma kita panggil dia nak tahu apa dia cakap. Itu saja," katanya dalam satu sidang media hari ini.

Tambahnya, beliau tidak mempersoalkan bahawa kenyataan Azlan bercanggah dengan fakta dalam perbicaraan kes berkenaan.

"Saya tidak persoalkan itu sebab dia tidak pernah dipanggil untuk beri keterangan.

"Itu sebab saya cakap dia tak pernah dipanggil, apa jua keterangan yang dia beri kepada polis sebelum ini adalah keterangan berbentuk hearsay .

"Apa yang dia dengar Saiful cakap, dia beritahu kita," katanya.

Khalid pada hari Sabtu lalu dilaporkan berkata, keterangan Azlan yang diperolehi polis adalah "tidak jelas", "tidak bernilai" dan "tidak boleh diguna pakai".

NONE Kenyataan berkenaan bagaimanapun dipertikai bekas pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Mat Zain Ibrahim yang menyifatkan perkara itu sebagai perbuatan tidak bertanggungjawab.

Mat Zain berkata, kenyataan Azlan tidak boleh diketepikan begitu sahaja kerana beliau mungkin mempunyai keterangan lain yang belum didedahkan atau boleh menyebabkan saksi lain muncul memberi keterangan baru dalam kes tersebut.

"Persoalan Azlan Lazim tidak dipanggil sebagai saksi dalam perbicaraan kes liwat itu sebenarnya bukan salah beliau, tetapi terletak ditangan pegawai penyiasat dan pihak pendakwaan.

"Telah banyak kali berlaku di mana saksi atau keterangan yang boleh membantu dalam sesuatu perbicaraan, disorokkan daripada dikemukakan kepada mahkamah, sepertimana yang jelas berlaku dalam perbicaraan kes bunuh Altantuya Shariibuu," katanya dalam satu surat terbuka kepada ketua polis negara hari ini.

"Dalam hal Azlan Lazim ini pula, kemungkinannya pihak pendakwaan yang dengan sengaja tidak memanggil beliau sebagai saksi, kerana jika dipanggil mungkin keterangan yang akan Azlan Lazim berikan, tidak akan memihak kepada pihak pendakwaan," tambahnya.

ADS