Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Berita pelaksanaan hukuman sebat terhadap 24 wanita dan 17 lelaki yang didakwa melakukan sumbang mahram dan mengadakan hubungan seks luar nikah membawa kerengsaan kepada Gabungan Kumpulan Bertindak bagi Kesamarataan Gender (JAG).

Pengumuman tersebut menimbulkan beberapa kebimbangan:

(1) Hukuman sebat melanggar prinsip-prinsip hak asasi manusia, khususnya hak kebebasan dari segala perlakuan yang kejam, menganiaya, menghukum dan yang menjatuhkan kehormatan diri seseorang.

JAG menyokong sepenuhnya kesetaraan yang membawa kepada pencapaian hak tersebut. Hukuman sebat seharusnya dimansuhkan.

(2) Diskriminasi terhadap wanita beragama Islam. Artikel 8(2) Perlembagaan Persekutuan menjamin kesetaraan dan kebebasan dari diskriminasi atas dasar agama dan gender.

Maka, sebarang undang-undang yang menghukum wanita atas dasar agama melanggar prinsip antidiskriminasi ini.

Tambahan pula, Kod Prosedur Jenayah dan Peraturan-Peraturan Penjara jelas melarang hukuman sebat ke atas wanita, tidak kira umur.

(3) Jenayah sumbang mahram. Adalah tidak adil bagi mangsa sumbang mahram dikenakan tuduhan persetubuhan luar nikah atas dasar suka sama suka bawah Undang-Undang Kesalahan Jenayah Syariah, malah ia suatu penganiayaan terhadap mangsa tersebut.

Ini menunjukkan kegagalan pihak mahkamah untuk memahami penyalahgunaan kuasa oleh seseorang dalam keluarga sendiri yang seharusnya menjadi pelindung dan penjaga.

Mangsa tidak patut dihukum atau didakwa bagi jenayah sumbang mahram.

(4) Bilangan wanita yang disebat dan dihukum lebih tinggi berbanding lelaki. Ketidakseimbangan ini dapat dilihat di negara-negara Islam yang lain yang mengguna pakai undang-undang syariah di mana bilangan wanita yang disabitkan kesalahan jenayah seksual adalah jauh lebih ramai berbanding dengan lelaki.

(5) Percanggahan undang-undang. Kedua-dua Kanun Keseksaan (S 376) dan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor (S 20) mengandungi peruntukan yang khusus mengenai sumbang mahram, tetapi hukuman yang berbeza.

Keadilan akan dicapai dengan lebih baik jika mereka didakwa di bawah Kanun Keseksaan, di mana pihak yang bersalah boleh dikenakan penjara selama tempoh tidak kurang daripada enam tahun dan tidak lebih daripada 20 tahun.

Hukuman ini mencerminkan betapa beratnya jenayah yang dilakukan.

Bagaimanapun, bawah enakmen jenayah syariah negeri, seseorang yang melakukan sumbang mahram boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana tiga hukuman di atas.

Penggunaan undang-undang mestilah tekal dan selaras untuk menegakkan keadilan bagi mangsa sumbang mahram, maka undang-undang persekutuan hendaklah diterima pakai dan semua jenayah sumbang mahram perlu didakwa bawah Kanun Keseksaan.

(6) Hukuman yang menjatuhkan kehormatan diri seseorang bertentangan dengan ajaran al-Quran.

Jabatan Agama Johor kini mencadangkan individu yang disabitkan hukuman disebat di ruang awam seperti masjid atas pemerhatian subjektif bahawa pihak Jabatan Agama Johor "melihat riak keinsafan pada wajah setiap pesalah yang dihukum".

Mustahil untuk mengukur tahap kekesalan dan taubat berdasarkan air muka seseorang. Selain itu, masih tiada bukti kukuh bahawa jenayah ganas atau seksual dapat dihalang oleh penyaksian hukuman sebat.

Penguatkuasaan undang-undang moral dan pendakwaan terpilih bertentangan dalil al-Quran, seperti "tidak mengorek rahsia orang lain" (Surah al-Hujurat 49:12); "Janganlah kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu lebih dahulu meminta izin serta memberi salam kepada penduduknya; jika dikatakan kepada kamu 'baliklah', maka hendaklah kamu berundur balik; cara yang demikian adalah lebih suci bagi kamu;."(an-Nur 24:27- 28) dan "Apabila kamu menjalankan hukuman di kalangan manusia, tetapkanlah dengan adil." (an-Nisa 4:58).

Sebuah hadis Nabi SAW dalam Sunan al-Tarmidhi juga menyatakan: "Jangan membahayakan umat Islam, dan jangan mencela mereka, mahupun meneruskan ketidaksempurnaan mereka... "

Apabila seseorang itu ditegur, adalah penting untuk memastikan bahawa hak-hak atas keadilan, kesaksamaan, dan kehormatan diri seseorang ditegakkan pada setiap masa dan tidak dianiaya oleh mereka yang berhasrat untuk menjatuhkan hukuman yang mengaibkan.

Tamadun manusia zaman dahulu, di Barat mahupun Timur, sering menjatuhkan hukuman berbentuk fizikal yang berat, lebih-lebih lagi ketika Zaman Pertengahan.

Tiada apa pun yang "Islam" tentang hukuman yang berbentuk fizikal malah, ajaran-ajaran Islam mengehadkan hukuman sebegitu yang diamalkan sebelum itu.

Ia lebih menekankan sikap kasih sayang serta keinsafan dan taubat bagi mereka yang berdosa.

Sifat Allah SWT yang Maha Pengampun dan Maha Mengasihani merupakan sifat dan tema yang sering diulang di dalam al-Quraan.

Dengan ini, JAG mengulangi saranannya kepada kerajaan untuk mengkaji semula dan memansuhkan undang-undang Kesalahan Jenayah Syariah atas dasar bahawa peruntukan-peruntukan tersebut tidak berasas dari segi teori dan amalan undang-undang Islam.

Selain itu, terdapat banyak peruntukan yang jelas bertentangan dengan Kanun Keseksaan, Kod Prosedur Jenayah dan Perlembagaan Persekutuan.


Gabungan Kumpulan Wanita Bertindak bagi Kesamarataan Gender (JAG) merangkumi Sisters in Islam (SIS), Women's Aid Organisation (WAO), All Women's Action Society (AWAM), Perak Women for Women Society (PWW), Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (EMPOWER) dan Persatuan Sahabat Wanita Selangor (PSWS)

ADS