Editor cadang 'fasal suara hati' bagi lindungi wartawan

   

Fasal Suara Hati dalam kontrak kerja wartawan perlu diperkenalkan demi melindungi wartawan jika mereka enggan melaksanakan tugas tidak beretika.  

    

Ketika membuat cadangan itu Bob Teoh, editor kelana mysinchew.com, berkata fasal tersebut atau 'conscience clause' juga bermakna wartawan boleh menuntut pampasan jika mereka memutuskan untuk meninggalkan organisasi.

    

"Jika saya tidak setuju dengan akhbar saya berhubung tugasan hingga saya terikat untuk membuat laporan tidak beretika atau saya tidak setuju dengan perubahan pendirian ideologi surat khabar, maka saya boleh gunakan fasal suara hati.

    

"Fasal itu untuk melindungi wartawan ketika mana mereka enggan bekerja dalam kondisi tidak beretika atau dipaksa menulis hal-hal tidak beretika" katanya dalam  forum berjudul "Media dan Etika di Malaysia" di ibunegara hari ini.

    

Beliau berkata fasal seperti itu telah diperkenalkan di Sepanyol sejak 1997.

 

"Pada 1997 Sepanyol memperkenal Akta Organik nombor 2, dengan fasal suara hati diperkenal atau dijadikan sebahagian dari kanun berkenaan.  

    

"Tahun lepas, Hakim Leveson memperakui cadangan Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Britain supaya dimasukkan fasal suara hati sebagai syarat kerja bagi wartawan," kata Teoh.   

- Bernama

Malaysiakini
terkini untuk anda