Malaysiakini
BERITA Malaysiakini

Ku Nan: Perjuangan Umno berteraskan al-Quran, Sunah

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Anggota Umno dinasihat bermuzakarah sesama sendiri bagi mengelak perebutan jawatan sepanjang pemilihan di peringkat cawangan yang sedang berlangsung sejak Isnin lepas hingga 30 Ogos ini.

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor ( gambar bawah, dua dari kanan ) berkata mereka perlu berpegang kepada Fasal 3 perlembagaan parti, yang antara lain menegaskan bahawa Umno merupakan sebuah parti politik yang menegakkan, mempertahankan dan mengembangkan agama Islam.

NONE "Jadi dalam Islam duduk muzakarah dan berbincanglah siapa nak jadi ketua dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis berbuka puasa di surau As-Sodiqin, Taman Kobena, di Kuala Lumpur semalam.

Katanya dasar perjuangan parti itu adalah berteraskan al-Quran dan Sunah, justeru mana-mana anggota yang ingin memegang jawatan dalam parti perlu mempunyai niat yang telus dan mengutamakan tanggungjawab kepada rakyat.

Terdahulu semasa berucap pada majlis itu, Tengku Adnan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan, yakin masyarakat Cina di kawasan Parlimen Cheras mampu kembali kepada Barisan Nasional (BN) jika golongan itu diberi penjelasan dan diyakinkan semula mengenai usaha kerajaan BN memperjuangkan nasib semua pihak.

"Walaupun Cheras tak pernah sumbang kerusi (kepada BN), tetapi kerajaan sentiasa melihat dan perhati rakyat di sini," katanya.

- Bernama