Malaysiakini
BERITA Malaysiakini

36 dipercayai lemas, bot karam di Tanjung Siang

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Hasrat untuk pulang beraya di kampung halaman untuk 40 pendatang tanpa izin warga Indonesia berakhir dengan tragedi apabila 36 daripada mereka dikhuatiri lemas manakala empat diselamatkan apabila bot  pancung dinaiki karam di perairan Tanjung Siang, Kota Tinggi, malam semalam.

    

Kejadian itu hanya disedari kira-kira pukul 4 petang tadi apabila sekumpulan nelayan tempatan menemui tiga daripada mangsa berpaut pada tong plastik sebelum mereka diselamatkan.

    

Seorang lagi mangsa berjaya diselamatkan oleh bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) ketika melakukan rondaan harian di kawasan 13.55 batu nautika dari perairan Tanjung Siang.

    

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Mohd Nor Rasid berkata sehingga kira-kira jam 10 malam tadi gerakan mencari dan menyelamat masih dijalankan oleh pasukan Polis Marin dan APMM.

    

"Berdasarkan maklumat awal, kejadian hanya disedari petang tadi dan bot itu dinaiki oleh kira-kira 40 pendatang tanpa izin dengan empat daripada mereka berjaya diselamatkan.

    

"Mereka difahamkan dalam perjalanan pulang ke Batam untuk  menyambut Aidilfitri," katanya ketika dihubungi malam ini.

    

Bot pancung berkenaan sebelum itu dipercayai berlepas dari Tanjung Siang lewat petang semalam sebelum ia karam akibat dipukul ombak kuat tengah malam semalam.

- Bernama