Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ketua sami Buddha mohon maaf kes upacara di surau
Diterbitkan:  Aug 13, 2013 4:05 PM
Dikemaskini: 8:12 AM

Ketua Sami Buddha Malaysia Datuk K Sri Dhammaratana Nayake hari ini memohon maaf kepada penganut agama Islam atas tindakan kumpulan penganut fahaman Buddha dari Singapura yang bermeditasi di dalam surau sebuah resort di Kota Tinggi, Johor.

"Kami memohon maaf kepada saudara Muslim kami dengan tindakan sekumpulan penganut Buddha dari Singapura yang mengadakan sesi meditasi di surau sebuah resort di Kota Tinggi," kata Dhammaratana dalam kenyataannya petang tadi.

NONE Beliau turut menasihat penganut Buddha agar menghormati sensitiviti agama lain dalam menunaikan kewajipan agama itu.

“Mustahil kita dapat membina bahagia atas kesedihan orang lain,” katanya dengan bermadah.

"Saya menasihatkan penganut fahaman Buddha di Malaysia dan Singapura agar menghormati sensitiviti penganut agama lain dalam menunaikan tanggungjawab dan kewajipan mereka," katanya lagi.

Kejadian berkenaan dikesan melalui satu video di Youtube, menunjukkan lebih 10 orang sedang menyertai satu upacara yang diketuai seorang individu berpakaian jubah berwarna oren di lokasi berkenaan.

Kumpulan berkenaan ditunjukkan berada dalam keadaan duduk  mengadap satu objek yang didirikan dalam di depan, di ruang tengah dalam surau tersebut.

Video dimuatkan oleh pengguna Youtube yang menggunakan nama 'Sebastianphiu' itu turut menunjukkan hiasan tulisan dalam bahasa Arab di dinding surau terbabit.

Susulan itu, pemilik sebuah resort di Sedili Besar di Kota Tinggi itu direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung tindakannya membenarkan surau resort itu digunakan untuk upacara keagamaan penganut bukan Islam.

Perintah reman itu dikeluarkan Pendaftar Mahkamah Hairul Azhar Mohamad di Mahkamah Sesyen di Kota Tinggi hari ini.

Lelaki berusia 45 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan iaitu mencemarkan tempat sembahyang dengan niat hendak mengaibkan agama mana-mana golongan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

ADS