Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mahkamah benar NSTP terus pertandingan eja
Diterbitkan:  Aug 27, 2013 11:39 AM
Dikemaskini: 3:47 AM

New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) boleh meneruskan pertandingan mengeja 'NST-SPELL-IT-Right' yang disiarkan Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3).

Ia berdasarkan keputusan panel lima anggota hakim Mahkamah Persekutuan di Putrajaya semalam yang menolak permohonan kebenaran merayu oleh syarikat pendidikan, Admal Sdn Bhd.

Admal memfailkan saman terhadap NSTP dan TV3, mendakwa mereka menciplak idea daripada kertas konsep syarikat itu berhubung pertandingan berkenaan. Admal mendakwa mereka adalah pemilik hak cipta pertandingan itu.

Admal memohon kebenaran merayu daripada Mahkamah Persekutuan berhubung keputusan Mahkamah Rayuan yang menyebelahi NSTP dan TV3.

Dalam keputusan sebulat suara menolak permohonan itu, Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Abdull Hamid Embong yang mengetuai panel lima anggota itu memutuskan Admal tidak layak mendapatkan kebenaran merayu kerana ia tidak memenuhi kehendak di bawah Seksyen 96(a) Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Beliau berkata tiada prinsip am undang-undang mengenai kepentingan awam untuk diputuskan Mahkamah Persekutuan.

"Kami bersetuju ia adalah pertikaian peribadi antara dua pihak," kata Abdull Hamid yang juga memerintahkan Admal membayar kos RM20,000 kepada NSTP dan TV3.

Panel itu turut dianggotai Hakim Tan Sri Suriyadi Halim Omar, Tan Sri Ahmad Maarop, Datuk Hasan Lah dan Datuk Zainun Ali.

Admal memfailkan saman pada 3 Mei tahun lepas terhadap NSTP dan TV3 memohon ganti rugi RM10 juta kerana pelanggaran hak cipta dalam konsep pertandingan 'NST-SPELL-IT-RIGHT' dan memungkiri kepercayaan.

Syarikat itu mendakwa ia adalah pemilik hak cipta pertandingan mengeja 'NST-SPELL-IT-RIGHT' dan defendan, tanpa kebenaran daripada plaintif, melancarkan pertandingan mengeja 'NST-SPELL-IT-RIGHT'.

Syarikat itu berkata pada Januari 2005, ia mengadakan beberapa perbincangan dengan NSTP serta membentangkan kertas konsep pertandingan itu dan kedua-dua pihak bersetuju untuk menamakannya 'NST-SPELL-IT-RIGHT'.

Pada 1 Ogos tahun lepas, Mahkamah Tinggi memutuskan NSTP dan TV3 telah menciplak idea itu daripada Admal.

Mahkamah Tinggi juga membenarkan tuntutan Admal untuk ganti rugi, yang akan ditaksir kemudian.

Bagaimanapun, pada 1 Nov 2012, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan yang dikemukakan NSTP dan TV3 dan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi.

Admal diwakili peguam Isa Aziz Ibrahim manakala NSTP dan TV3 diwakili peguam Liew Teck Huat.

- Bernama

ADS