Malaysiakini
Malaysiakini BERITA

Hishamuddin Rais: IGP buat lawak pagi hari

Abdul Rahim Sabri

Diterbitkan  |  Dikemaskini

WAWANCARA Aktivis politik Hishamuddin Rais menyindir Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar yang mendakwa Sasterawan Negara Datuk A Samad Said "menyorok dan menyelinap" sebelum beliau ditahan oleh polis.

Sambil ketawa sinis, Hishamuddin yang juga bekas tahanan ISA menyifatkan Khalid sebagai "seorang yang pandai membuat lawak" waktu pagi, berhubung kenyataannya mengenai pencarian dan penahanan A Samad.

NONE "Pagi-pagi lagi, (beliau) kata Pak Samad menyorok . Rasa saya, Pak Samad nak menyorok dekat mana, umurnya sudah 80 tahun. Dia bukan ada ilmu ghaib. Jadi lawak. Bagus juga buat lawak sekali-sekali. IGP ini seorang yang pandai buat lawak," kata Hishamuddin sinis ( atas ).

"Tadi (kelmarin) saya baca lagi, dia buat lawak lagi. Masa tu Pak Samad nak menyelinap masuk. Nak menyelinap masuk macam mana, dia buka kunci. Tak munasabah. Rumah dia juga naik lif. Tak munasabah," katanya dalam wawancara dengan Malaysiakini semalam.

Beliau menjawab soalan berhubung penahanan A Samad yang juga pengerusi bersama BERSIH pada awal pagi Rabu lalu bagi membantu siasatan berhubung isu mempamerkan bendera Sang Saka Malaya pada malam ambang kemerdekaan.

NONE Mengakui pegawai polis boleh melakukan tangkapan untuk menyiasat pada bila-bila masa, Hishamuddin bersetuju dengan seorang lagi pengerusi bersama BERSIH Datuk S Ambiga ( kiri ) bahawa penahanan pada lewat malam itu sebagai satu bentuk "gangguan" kepada A Samad.

"Rasa saya tindak laku ini tidak harus berlaku kepada orang tua dan tidak harus dilakukan kepada sesiapa warga negara walaupun dia kanak-kanak atau budak-budak kecil.

"Kita ini nak menuju masyarakat sivil. Jadi kelakuan begini seharusnya kita tinggal belakang dan masukkan dalam tong sampah sejarah," katanya.

Bukan di Jerman tahun 1943

Bagi merealisasikan hasrat itu, Hishamuddin menasihatkan supaya polis tidak mencontohi tindakan pihak berkuasa Jerman pada 1943 dengan mengetuk pintu rumah orang awam untuk menyiasat.

NONE "Jadi, rasa saya tak perlulah, ketuk pintu 12 pagi. Ini tahun 1943 di Jerman. Kita bukan begitu. Jadi tak perlu. Tapi nampaknya sedang berlaku di Kuala Lumpur ini.

"Dalam segi hal juga, saya juga tersenyum sebab kelakuan dan tindak tanduk oleh pihak berkuasa ini menyemarakkan kebencian dan ketidakpuasian orang ramai. Daripada keadaan tenang hari raya, menimbulkan ketegangan kembali," katanya.

Sebelum penahanan Pak Samad, Hishamuddin dan aktivis mahasiswa Adam Adli ditahan berhubung penglibatan mereka mempamer Sang Saka Malaya sempena sambutan ambang kemerdekaan Jumaat lalu.

bersih pc on jom 100 170112 samad said Hishamuddin mendakwa penahanan mereka disebabkan mereka "tidak bersama-sama dengan dasar pihak berkuasa dan memiliki pandangan berbeza dengan pandangan pihak berkuasa".

"Ini jelas. Jadi secara tidak sengaja Pak Samad adalah sasterawan negara. Ramai sasterawan negara yang mereka hormati. Kenapa Pak Samad tidak dihormati?

"Kerana Pak Samad ini memiliki pandangan yang berbeza. Kerana Pak Samad ini memiliki juga tulisan yang dilihat mengancam dan dilihat memberi pencerahan apa yang berlaku sekarang.

"Sajak, syair, pantun dan tweet Pak Samad ini yang diikuti beribu-ribu anak Malaysia ni memberi satu gambaran bahawa negara kita ini dalam suasana tegang dan kezaliman," katanya.

Menceritakan insiden pada malam ambang kemerdekaan, Hishamuddin berkata banyak pihak termasuk Pak Samad hadir memberi sokongan pada kumpulan anti-Lynas Himpunan Hijau yang berkempen memungut sejuta tandatangan membantah kilang nadir bumi itu dekat Dataran Merdeka.

Rampas Sang Saka

Menurutnya, sekalipun hadir agak lewat dan berada "agak jauh" daripada itu, Hishamuddin berkata beliau melihat pelbagai aktiviti diadakan seperti pemberian ucapan pelbagai pihak, pembacaan sajak dan nyanyian.

NONE "Jadi saya tak tahu beliau (Pak Samad) memberi ucapan atau baca sajak. Rasa-rasa saya dia membaca sajak, saya tidak tahu tajuk apa yang dibaca pada malam itu.

"Ketika tu memang ada hingga tiga (helai) Sang Saka berkibar, dipegang oleh anak-anak muda ketika tu. Dan pada ketika tu, dalam sekelip mata, ketika Pak Samad bacakan sajak, ada seorang lelaki datang merampas bendera Sang Saka.

"Dan ia berlaku begitu pantas dan si lelaki ini melarikan diri dalam lautan manusia yang ada pada malam itu," katanya.

Ekoran tersiarnya laporan berita dan komen ahli-ahli politik berhubung tindakan mempamerkan bendera itu pada hari Isnin, Hishamuddin berkata beliau merasakan akan berlaku tangkapan terhadap dirinya dan Adam Adli.

Menurutnya, seramai empat atau lima orang pegawai polis mengelilingi meja sewaktu beliau dan Adam makan malam di Kampung Baru dan kemudiannya membawa mereka ke ibu pejabat polis Dang Wangi.

"Saya lihat ketika tu ada tiga buah kereta, rasa saya. Di hadapan sekali kereta Pajero dan mereka guna bunyi 'ngiao, ngiao, ngiao'.

"Jadi bayangkan Kampung Baru, (keadaan) berasak-asak sehingga orang datang melihat, (dan) sempat mengambil gambar (ketawa). Ini bagi saya, macam satu lawak komedilah," katanya.


Hishamuddin turut diwawancara oleh wartawan Lee Way Loon dan Hafiz Yatim.