Utusan setuju tarik balik laporan fitnah Husam

       

Akhbar Utusan Malaysia hari ini bersetuju menarik kembali satu laporan bertarikh 31 Mei 2009 berhubung dakwaan fitnah ke atas Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa.

Akhbar itu juga bersetuju menyiarkan pengumuman menarik balik rencana itu pada halaman 9 akhbar edisi hujung minggu Utusan , Mingguan Malaysia pada 22 September ini.

Peguam Husam Balan Nair Dhamodaran berkata akhbar milik Umno itu juga diperintahkan membayar kos sebanyak RM40,000 kepada Husam.

Balan ketika dihubungi Malaysiakini berkata, keputusan itu dipersetujui di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Siti Khadijah S Hassan Badjenid di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Husam sebelum ini menamakan Utusan Malaysia , penulis rencana Zulkiflee Bakar dan Ketua Pengarang Kumpulan, Datuk Abdul Aziz Ishak sebagai defendan dalam tuntutannya.

Ia berhubung rencana bertajuk 'Menilai hujah Husam' yang disiarkan akhbar itu yang didakwa oleh Husam sebagai memfitnah dirinya sewaktu pemilihan PAS semakin hampir pada masa itu.

Menurut Husam, rencana itu memberikan gambaran beliau tidak setia kepada PAS dan idealismenya, tidak boleh dipercayai, berniat untuk membahayakan kepentingan PAS, serta merupakan musuh kepada PAS.

Malaysiakini
terkini untuk anda