Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
KPRU: Perbelanjaan boros Najib risiko pada negara
Diterbitkan:  Sep 25, 2013 3:15 PM
Dikemaskini: 7:48 AM

Badan pemikir Kajian Politik Untuk Perubahan (KPRU) memerhatikan bahawa perdana menteri sejak tahun 2009 memohon kepada Parlimen agar meluluskan belanjawan tambahan sebanyak dua kali selepas pembentangan belanjawan tahunan.

Tabiat berbelanja secara berlebihan ini mendedahkan negara kepada risiko kerana ia mengakibatkan negara mengurus hutang yang banyak, menurut KPRU dalam kenyataannya.

"Dalam konteks kewangan negara berada dalam defisit fiskal sepanjang pentadbiran Najib, pembentangan dua belanjawan tambahan secara konsisten bagi setiap belanjawan asal menonjolkan suatu sikap tadbir urus kewangan negara yang tidak berhemat," kenyataan itu dipetik.

Menurut KPRU, Najib memohon tambahan RM27.3 bilion dalam dua belanjawan tambahan selepas belanjawan 2010 dan RM23.5 bilion dan RM28 bilion, selepas belanjawan tahun 2011 dan 2012.

Kerajaan yang telah membentangkan belanjawan tambahan RM15 bilion untuk tahun ini dijangka membentangkan belanjawan tambahan yang kedua berdasarkan petunjuk sebelum ini, kata KPRU lagi.

Pola begini, tambahnya, tidak akan membantu memperbaiki tahap hutang negara yang diturunkan tarafnya dalam bulan Julai lalu kepada "negatif" oleh agensi penarafan Fitch Ratings.

Lanjutan daripada belanjawan tambahan ini, KPRU memberi amaran yang angka sebenar hutang dan defisit negara akan mejadi lebih tinggi daripada jangkaan awal sewaktu ia mula dibentangkan.

Berdasarkan perkiraannya, KPRU menjangkakan defisit negara akan mencecah 5.5 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) berbanding jangkaan awal sebanyak empat peratus.

"Dalam laporan bertarikh 17 September 2013, Bank of America Merrill Lynch berpendapat, hutang kerajaan Malaysia berkemungkinan besar mencecah silingnya iaitu 55% daripada KDNK.

"Laporan tersebut menyatakan bahawa, hutang kerajaan Malaysia telah meningkat kepada 53.8% pada penggal pertama 2013, seterusnya meningkat kepada 54.6% daripada KDNK pada penggal kedua 2013," katanya.

Tambahnya lagi, apabila diambil kira tanggungan luar jangka sebanyak RM147.3 bilion pada penggal kedua 2013, hutang negara sebenarnya berada pada paras 70.2 peratus daripada KDNK.

ADS