BERITA

Laporan audit: PAS gesa demo ala-BERSIH

Diterbitkan
Dikemaskini 2 Okt 2013, 11:49 tengahari

PAS mendesak satu himpunan seperti BERSIH diadakan bagi menuntut penyiasatan dan tindakan terhadap pihak yang bertanggungjawab berhubung ketirisan seperti yang dilapor Laporan Ketua Audit Negara yang dikeluarkan semalam.

NONE Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man ( kanan ) berkata rakyat perlu terus memberi tekanan berhubung perkara itu sehingga kerajaan BN mengaku bahawa "mereka boros".

"Media-media boleh terus mengorek ketirisan-ketirisan yang telah berlaku, tapi sekiranya rakyat Malaysia terus mengambil sikap hangat-hangat tahi ayam dalam soal ketirisan ini, kerajaan BN akan terus bersikap acuh tidak acuh pada laporan ketua audit negara.

"Jika tidak, budaya ketirisan ini akan berterusan dan rakyat akan disuruh terus membayar lebih untuk menampung kos kehidupannya untuk membolehkan kerajaan BN terus berboros dalam perbelanjaannya," katanya.

Dalam kenyataannya hari ini, Tuan Ibrahim berkata rakyat mempersoalkan mengapa tiada tindakan setiap kali laporan itu dibentangkan dan mempersoal transformasi yang dilaungkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Ternyata laungan transformasi beliau hanya slogan kosong. Kita yakin selagi kerajaan BN menerajui negara, penyalahgunaan kuasa dan pengurusan sumber kewangan negara akan berterusan," katanya.

Bidas Ahmad Maslan

Tuan Ibrahim yang juga pesuruhjaya PAS Pahang membidas Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berhubung kenyataannya bahawa laporan tersebut menunjukkan ketelusan pentadbiran negara.

Dengan nada menyindir, pemimpin PAS itu mahu Ahmad menggunakan "kepintarannya" dengan menyifatkan ketirisan itu "menandakan sistem perolehan kerajaan telah rosak dijangkiti barah rasuah sehingga akarnya".

NONE "Di sini perlunya kerajaan BN untuk melakukan rasionalisasi perbelanjaan sebagai kemoterapi merawat barah ini sebelum memerah otak mereka menekan rakyat untuk menampung perbelanjaan.

"Ketirisan yang dilaporkan setiap tahun di Laporan Ketua Audit Negara menunjukkan Malaysia memerlukan rasionalisasi perbelanjaan di dalam semua jabatan kerajaan terlebih dahulu sebelum menghukum rakyat dengan rasionalisasi subsidinya," katanya.

Sehubungan itu, Tuan Ibrahim berkata tidak adil kerajaan menyuruh rakyat membayar lebih RM0.20 untuk seliter untuk minyak sedangkan agensi kerajaan terus meneruskan kerja borosnya.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.