Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
ADUN DAP keluar dewan, ADUN PAS enggan
Diterbitkan:  Oct 3, 2013 10:16 PM
Dikemaskini: 2:19 PM

Lima anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) pembangkang DAP hari ini bertindak keluar daripada persidangan DUN Melaka ke-13 kerana membantah keputusan Speaker DUN Datuk Othman Muhamad mengarahkan Lai Keun Ban (DAP-Kota Laksamana) keluar dewan.

    

Bagaimanapun tindakan mereka tidak disertai seorang lagi ADUN pembangkang Dr Md Khalid Kassim (PAS-Bukit Baru), kerana enggan berganjak dari tempat duduknya dan kekal di dalam dewan meneruskan sesi soal jawab pada persidangan itu.

    

Tindakan Dr Md Khalid mendapat pujian Ketua Menteri Melaka Datuk Idris Haron (BN-Sungai Udang) yang menyifatkan tindakan itu sebagai 'gentleman' kerana kekal berada di dalam dewan untuk meneruskan persidangan dan berbincang masalah rakyat di dalam dewan itu secara berdepan.

    

ADUN daripada BN turut memuji tindakan Dr Md Khalid, malah Datuk Hasan Rahman (BN-Sungai Rambai) sempat bergurau dengan mempelawa beliau menyertai BN.

    

Terdahulu Idris menjawab soalan tambahan daripada Lai sama ada pembukaan Jalan Jonker kepada laluan lalulintas bermotif politik, yang mana Idris menegaskan tindakan itu dilakukan bagi melancarkan lalulintas di kawasan tarikan pelancong itu.

    

"Telah berkali-kali saya tegaskan sebelum ini tindakan itu dilakukan demi memberikan keselesaan kepada rakyat dan pelancong bagi mengatasi masalah lalu lintas, tindakan ini juga tidak menjejaskan kedatangan pelancong ke kawasan itu," kata Idris.

    

Tidak berpuas hati dengan penjelasan itu, Lai terus mendakwa tindakan itu bermotif politik sehingga menimbulkan kekecohan dalam kalangan anggota dewan hingga menyebabkan pertikaman lidah serta cabar-mencabar antara Adun BN dan DAP.

    

Bagi meredakan keadaan Othman menasihati Lai supaya bertenang dan membahaskan perkara itu secara berhemah, namun tidak dipedulikan Lai sehingga Othman mengarahkan Lai keluar kerana tidak mematuhi peraturan dewan.

    

Arahan itu bagaimanapun dibantah Ketua Pembangkang Goh Leong San (DAP-Duyong) atas alasan ia tidak adil dan kemudian bertindak mengetuai empat Adun DAP yang lain iaitu Khoo Poay Tiong (DAP-Ayer Keroh), Lim Jak Wong (DAP-Bachang), Chin Choong Seong (DAP-Kesidang) dan Tey Kok Kiew (DAP-Bandar Hilir) keluar dewan.

    

Meneruskan sesi soal jawab itu kemudian, Dr Md Khalid bertanya tentang bilangan guru Sekolah Rendah Agama Jabatan Agama Islam Melaka, dijawab Idris Melaka kini mempunyai 1,182 guru sekolah itu yang semuanya berstatus kontrak.

    

Atas kepakaran Dr Md Khalid yang juga bekas Pengarah Hospital Melaka, Othman turut membenarkan beliau menyatakan pendapat dalam soalan berkenaan doktor pakar di Melaka dan usaha menambah bilangan doktor pakar di negeri itu.

    

Sementara itu Dr Md Khalid berkata keputusannya untuk tidak berganjak dari tempat duduknya di dalam dewan tidak berkait dengan kesepakatan politik antara dua parti itu, sebaliknya beliau berpendapat semua anggota dewan perlu memahami dan mematuhi peraturan ketika berada di dalam dewan.

    

"Saya tidak keluar kerana menghormati peraturan dewan. Ini berkait soal teknikal, peraturan ada untuk dipenuhi," katanya kepada Bernama di luar persidangan DUN hari ini.

    

Beliau berkata kesepakatan antara ADUN pembangkang di negeri itu tetap kukuh dan berpendapat agenda membela nasib rakyat yang dilaksana pembangkang tidak akan terjejas hanya kerana keputusan itu.

    

- Bernama

ADS