Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Khairy setuju syarat kempen perlu dilonggarkan

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin bersetuju dengan teguran beberapa calon agar syarat berkempen pada pemilihan Umno kali ini perlu dilonggarkan bagi memberi peluang kepada calon

memperkenalkan diri.

Beliau berkata ini kerana ada calon yang kurang dikenali perwakilan dan perlunya mereka diberikan ruang secukupnya untuk memperkenalkan diri.

"Semua orang kenal saya tapi orang yang lawan saya (bagi jawatan Ketua Pemuda) mungkin orang tak kenal. Kalau kita nak bagi orang lawan bagilah gelanggang yang terbuka, gelanggang yang sama rata.

"Kita kena terbuka sikit. Bukan kita menggalakkan kempen tidak sihat. Kalau ada kempen tak sihat seperti fitnah, serangan peribadi, politik wang, ok yang itu ambil tindakan tapi sekadar nak jumpa perwakilan, adakan majlis biasa nak jumpa dengan perwakilan saya rasa harus dibenarkan," kata Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan kepada pemberita selepas merasmikan Larian Terbuka Kelantan 2013 di Kota Bharu, hari ini.

Seramai 750 peserta menyertai larian anjuran Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Universiti Sains Malaysia, Kampus Kesihatan bertema "Be Active, Beat Diabetes".

Semalam Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan yang merupakan calon Majlis Tertinggi (MT) menyifatkan ada sebahagian peraturan dalam pemilihan Umno kali ini kurang bijak dan boleh membantutkan proses pemilihan.

Antara peraturan itu katanya ialah calon tidak boleh berkempen secara bersendirian bagi bertemu dengan anggota Umno akar umbi dan memperkenalkan diri.

Mengenai potensi dirinya mempertahankan jawatan Ketua Pemuda pada pemilihan parti 12 Oktober ini, Khairy berkata beliau menyerahkan kepada perwakilan untuk membuat penilaian berdasarkan rekod perkhidmatannya sebagai naib ketua Pemuda sebelum ini dan Ketua Pemuda sekarang.

-Bernama

ADS