BERITA

Penduduk marah dakwa pemaju 'Hakka makan Hakka'

Lee Way Loon

Diterbitkan
Dikemaskini 7 Nov 2013, 10:44 pagi

VIDEO l 1:35 minit

Kumpulan yang kini tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman mereka di Kampung Hakka, Mantin diranapkan pada akhir bulan lalu melepaskan kemarahan mereka dengan menampal nota di pintu pejabat pemaju yang bertanggungjawab ke atas operasi tersebut.

Kumpulan kira-kira 50 orang itu berbuat demikian kerana tidak berjaya bertemu dengan wakil syarikat terbabit di pekan Mantin – kira-kira 1 kilometer dari tapak kampung mereka.

Pejabat jualan tersebut menutup pintu mereka selepas kehadiran kumpulan terbabit yang turut berhimpun di hadapan bangunan terbabit.

Nota berkenaan mengecam tindakan pemaju tersebut yang disifatkan sebagai satu tindakan “pengkhianat” dan juga “Hakka makan Hakka”.

Antara nota itu berbunyi "Hentikan membuli", "Kemanusiaan sebelum keuntungan", "Kami mahu rumah kami, bukan pampasan" dan "Datuk Ng Kek Kong, Hakka Makan Hakka".

Ng adalah pengerusi lembaga pengarah syarikat Mega 9 Development Sdn Bhd, yang merupakan pemaju hartanah yang bertanggungjawab melaksanakan projek kontroversi itu.

Beliau dilahir dan dibesarkan di Mantin, dan merupakan bekas presiden Persekutuan Persatuan Fui Chiu Malaysia, sebuah badan payung untuk suku Hakka di Semenanjung Malaysia.

Menjawab 'penghinaan' Ng

Semalam, Ng mendakwa sekumpulan "setinggan profesional" dan orang kurang upaya telah sengaja diupah untuk tinggal di rumah-rumah yang dijadualkan untuk dirobohkan minggu lepas bagi menimbulkan masalah bagi menarik perhatian media.

Kumpulan yang memprotes hari ini berkata mereka tersinggung dengan kenyataan Ng itu.

Chong Tze Yaw, penganjur protes itu berkata dakwaan Ng bahawa mereka mengambil RM500 adalah untuk menghina maruah mereka.

Beberapa orang yang dipercayai kakitangan syarikat tersebut dilihat membuang nota-nota tersebut selepas kumpulan berkenaan beredar dari situ.

Seasukan kecil anggota polis berada di sekitar kawasan tersebut, tetapi mereka tidak mencampuri protes selama sejam itu.

[Baca berita penuh]

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.

Iklan