'Rambo' azam terus gesa presiden FAM undur

       

Walaupun ditahan dan berdepan dengan tindakan agresif unit simpanan persekutuan (FRU) seorang aktivis bola sepak bertekad meneruskan usaha mendesak kepimpinan presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dirombak seluruhnya.

Alfadli Awaludin berkata, pemain dan jurulatih Datuk K Rajagopal tidak patut dipersalahkan seratus peratus atas kemerosotan berterusan mutu permainan.

NONE "Ia skrip lama yang terus berulang. K Rajagopal ialah jurulatih ke-21 negara.

"Dua puluh (jurulatih) sebelum ini telah diganti, hanya seorang saja yang kekal ada dalam setiap episod kekalahan (iaitu presiden FAM)," kata beliau kepada Malaysiakini .

Sultan Ahmad Shah menerajui persatuan FAM sejak 1984. Dalam tempoh itu, 21 jurulatih dan enam setiausaha beliau telah bertukar.

Alfadli antara dua yang ditahan di Stadium Shah Alam selepas cuba melahirkan perasaan tidak puas hati dengan kekalahan skuad negara 1-0 di tangan Qatar pada Selasa malam, dengan masuk ke kawasan orang kenamaan (VIP).

Pentabdir laman "Presiden FAM sila letak jawatan" itu berkata, beliau dan rakan-rakan sedang berbincang untuk mengambil langkah seterusnya dalam usaha mengembalikan era kecemerlangan bola sepak negara seperti era 70-an dan 80-an.

Laman Facebook kelolaanya itu kini sudah digemari lebih 56,000 yang turut menuntut presiden FAM Sultan Ahmad Shah meletakkan jawatan.

"Perjuangan ini takkan berhenti, selagi prestasi pasukan bola sepak kita di takuk begini.

"Kita nak perubahan, kita nak supaya presiden FAM dan kepimpinan dapat ditukar dengan muka baru yang segar," tegas Alfadli yang juga dikenali sebagai "Rambo".

Pasukan kebangsaan kini menghuni tangga 160 dalam ranking Federasi Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), jauh di belakang negara mundur yang diselaputi peperangan seperti Palestin (146), Afghanistan (133) dan Rwanda (129).

Malaysiakini
terkini untuk anda