Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

VIDEO l 2:10 minit

Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak berkata kemenangan BN dalam pilihan raya umum ke-13 tidak wajar dipersoalkan kerana parti itu memenangi pertandingan tersebut mengikut sistem yang diamal sejak sekian lama.

Najib yang menyampaikan ucapan dasar presiden di Perhimpunan Agung Umno 2013 hari ini mengumpamakan pilihan raya tersebut seperti perlawanan badminton.

Katanya, walaupun BN mendapat majoriti lebih kecil, Pakatan Rakyat tetap dikira kalah dari segi keseluruhan.

"Katalah dalam satu perlawanan badminton, Najib melawan (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim), ke Anwar melawan Najib, mana-mana pun tak kisahlah.

"Dalam set pertama Najib menang 21-15, dalam set kedua Najib kalah 05-21, tetapi set penentu Najib menang 21-16.

"Tentulah dalam perlawanan ini, memenuhi peraturan, pengadil mengisytiharkan Najib menang. Tetapi Anwar membantah tak setuju kerana katanya, jumlah mata terkumpul beliau adalah 52 berbanding Najib 47.

"Mana boleh kira macam tu, tak betul tu. Kita ada sistem, kita main ikut set. Siapa menang majoriti, dialah juara!," katanya yang disambut dengan tepukan di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Tambahnya, undi popular, BN tetap memenangi undi popular di sembilan negeri berbanding Pakatan yang hanya berjaya menguasai empat negeri.

"Mereka semacam tidak faham dan tidak mahu memperakui sistem first-past-the-post. Ingin saya terangkan bahawa sistem ini telahpun kita amalkan sejak pilihan raya 1959 lagi, di mana, parti pertama yang mencapai majoriti, diisytihar menang.

Maknanya, semasa pilihanraya tersebut, apabila BN mencecah 112 daripada 222 kerusi, menurut sistem ini, tuan-tuan dan puan-puan, kita berhak membentuk kerajaan seperti yang dilakukan," kata beliau.

Sistem first-past-the-post itu membolehk sesuatu parti atau gabungannya membentuk kerajaan jika memenangi jumlah kerusi paling banyak dengan majoriti mudah, tanpa mengira jumlah undi yang diraih.

Anwar mempersoalkan kemenangan BN dalam pilihan raya berkenaan ekoran kejayaan Pakatan Rakyat meraih undi popular yang lebih besar dari BN dalam pilihan raya umum ke-13.

 

ADS