Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Seorang ahli perniagaan wanita berjaya membatalkan saman yang difail bekas teman lelakinya, yang merupakan warga Bosnia, berhubung dakwaan penggunaan sperma bagi menghasilkan anak baka Eropah.

Hakim Mahkamah Sesyen Timothy Finlayson Joel membuat keputusan itu dalam kamar selepas membenarkan permohonan Chung Shun Yee untuk membatalkan saman Ervin Ahbabovic.

Chung diwakili peguam James Ee Kah manakala peguam Nasser Yusof mewakili Ahbabovic.

Mahkamah turut memerintahkan Ahbabovic membayar kos RM6,500 kepada bekas teman wanitanya itu selain menolak tuntutan balas yang difail Chung.

Dalam penghakiman bertulis, Timothy berkata tuntutan Ahbabovic tidak berasas dan tiada kenyataan persetujuan yang nyata bahawa bekas teman wanitanya terikat untuk membayar atau membeli sperma plaintif atau bersetuju membayar sperma itu apabila mereka melakukan persetubuhan.

"Tiada pembelian sperma ataupun kontrak dinyatakan dalam afidavit dan kenyataan tuntutan itu adalah tidak berasas kerana apa yang berlaku di sini adalah mereka cuma bersekedudukan sebagai pasangan dan menikmati perhubungan seksual atas persetujuan bersama," katanya.

Beliau berkata kenyataan Ahbabovic berkaitan nafsu seksual Chung adalah keterlaluan kerana tiada asas untuk plaintif mendedahkannya kerana perhubungan mereka adalah bersifat peribadi.

"Jika tuntutan sebegini diterima mahkamah, keadaan kebanjiran kes seumpamanya akan wujud dan ia adalah satu kes yang bertentangan dengan polisi awam," katanya.

Menyentuh isu agar nama Ahbabovic diletak sebagai nama bapa dalam sijil lahir, Timothy berkata mahkamah mendapati tiada perkahwinan dalam kes ini dan anak yang dilahirkan adalah di luar nikah.

Pada 3 Sept lepas, Ahbabovic, 41, memfailkan saman terhadap Chung, 29, menuntut ganti rugi RM600,000 kerana mendakwa diperguna bagi mendapatkan spermanya untuk menghasilkan anak baka Eropah.

Dalam penyataan tuntutannya, Ahbabovic, pengarah komersial dalam industri pembangunan perniagaan di sebuah syarikat, mendakwa beliau mula menjalin hubungan dengan Chung pada 2008 dan hasil perhubungan itu, mereka memperoleh seorang anak lelaki yang kini berumur tiga tahun lebih.

Lelaki itu mendakwa Chung telah menghalaunya keluar dari rumah serta menghalang beliau daripada melihat anaknya, dan selepas itu, dia ada menghubungi wanita berkenaan untuk berbaik semula demi kepentingan anak mereka.

Beliau mendakwa niatnya itu dibalas dengan kata-kata yang mengejutkan apabila Chung menyatakan bahawa plaintif sebenarnya diperguna sebagai alat pemuas seks selain bagi mendapatkan sperma miliknya yang membolehkan defendan memperoleh anak genetik orang Eropah.

Ahbabovic menuntut ganti rugi itu kerana penggunaan spermanya dalam usaha mendapatkan anak dengan cara yang salah, dan memohon agar beliau disah dan didaftar sebagai bapa di dalam sijil kelahiran anak lelakinya, faedah, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Chung dalam penyataan pembelaan yang difailkan 30 Sept lepas, mendakwa  Ahbabovic beberapa kali mengugut mahu membunuhnya jika dia tidak mengikut arahan lelaki itu.

Chung mendakwa Ahbabovic turut mengugut untuk mendedahkan gambar serta video peribadi yang diambil tanpa disedarinya kepada rakan dan memusnahkan kerjaya beliau sebagai ahli perniagaan.

Wanita itu menfailkan tuntutan balas menuntut ganti rugi kehilangan perniagaan sebanyak RM200,000, wang pampasan RM120,000, ganti rugi am, teladan dan ganti rugi lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Sementara itu, Nasser memaklumkan pemberita anak guamnya akan mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi.

- Bernama

ADS