BERITA

TMJ dinamakan dalam laporan polis

Diterbitkan
Dikemaskini 4 Feb 2014, 9:31 pagi

Presiden Presiden Persatuan Bola Sepak Johor (PBNJ) Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim Ismail dinamakan dalam laporan polis pemain import T-Team  Fabio Flor.

Ketika dihubungi  Malaysiakini , jurucakap polis Terengganu mengesahkan laporan itu.

Bagaimanapun tidak dapat disahkan sama ada isi kandungan laporan polis itu sama seperti yang tersebar di laman media sosial termasuk di laman Facebook peminat Johor Darul Takzim sendiri.

Sementara itu, di Internet, terdapat kekeliruan sama ada Tunku Ismail telah dipanggil memberi keterangan berhubung insiden kekecohan di Stadium Tan Sri Datuk Hassan Yunos, Larkin Sabtu lalu kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Kekeliruan timbul apabila media online kerajaan Johor Johor Times menaikkan gambar berkapsyen "TMJ hadir di Pejabat PBNJ untuk beri keterangan kepada pihak FAM. "

Bagaimanapun beberapa jam kemudian Malaysiakini mendapati kapsyen tersebut telah berubah kepada "TMJ hadir di Pejabat PBNJ untuk beri keterangan kepada peguam."

FMT melaporkan, Setiausaha Agong FAM Hamidin Mohd Amin menafikan Tunku Ismail akan memberikan keterangan hari ini.

Dalam kejadian pada Sabtu lalu, terdapat insiden pergaduhan pada perlawanan Piala FA antara kedua pasukan antara Johor Darul Takzim (JDT) dan T-Team pada Sabtu.

Dalam pertemuan itu, T-Team enggan meneruskan perlawanan pada babak kedua selepas mendakwa pemain importnya Evaldo Rodrigues Goncalves Cardoso dan Fabio Flor serta jurulatih kecergasan Stefano Impagliazzo dikasari pengurusan tertinggi JDT.

Insiden itu didakwa berlaku ketika mereka menuju ke bilik persalinan selepas tamat separuh masa pertama.

T-Team, yang ketinggalan 2-1 ketika itu, mendakwa mereka tidak dapat meneruskan perlawanan atas faktor keselamatan.

Sementara itu, polis Terengganu berkata, empat laporan polis diterima daripada T-Team berhubung insiden itu.

Malam tadi, Bernama melaporkan Ketua Polis Terengganu Datuk Jamshah Mustapa berkata, pengurusan, dua pemain import serta jurulatih kecergasan T-team membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu antara pukul 9 malam dan 12.30 tengah malam Ahad.

Polis berkata akan menyiasat, memanggil dan merakamkan percakapan saksi-saksi kejadian.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.