Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MAS perjelas isu 'nasi lemak telanjang'
Diterbitkan:  Feb 14, 2014 3:00 AM
Dikemaskini: 4:42 AM

Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) menjelaskan masalah teknikal ketika penyediaan nasi lemak sewaktu penerbangan ke Bangkok baru-baru ini sehingga terpaksa menarik bahan utama iaitu kacang dan ikan iblis.

Hal demikian mengundang kritikan apabila digelar 'nasi lemak telanjang' oleh chef selebriti terkenal Datuk Mohd Redzuawan Ismail atau lebih dikenali Chef Wan dalam penerbangan ke Bangkok ketika itu.

Pengurus (Makanan dan Minuman) Operasi Penerbangannya Chef Zahiddin Dris berkata peket ikan bilis dan kacang tidak dapat dihidangkan bersama nasi lemak ketika itu kerana terdapat kerosakan pada bahan tersebut, lapor Utusan Malaysia .

"Kami mendapati salah satu peket ikan bilis dan kacang rosak sehingga terpaksa menariknya daripada hidangan untuk menjaga kualiti.

"Prosedur itu merupakan standard biasa MAS, bertujuan untuk menjaga kebersihan dan kualiti makanan para penumpang," katanya seperti dilapor dalam akhbar itu.

Beliau mengulas kritikan Chef Wan menerusi akaun Instagram miliknya kerana menu itu tidak dilengkapi ikan bilis dan kacang serta timun ketika berada dalam penerbangan kelas ekonomi dari Kuala Lumpur ke Bangkok.

Berkenaan timun, Zahiddin berkata, bahan itu terdapat pada penerbangan kelas pertama dan perniagaan kerana bersifat mudah rosak menyebabkan anak kapal harus menyediakannya sebelum nasi lemak dihidangkan kepada penumpang.

"Anak kapal hanya berupaya menyediakan untuk kelas pertama dan perniagaan kerana bilangan penumpang tidak ramai berbanding kelas ekonomi," katanya.

Dalam laporan itu juga, Zahiddin berkata MAS sentiasa menitikberatkan soal kualiti makanan dalam penerbangan termasuk memantaunya menerusi Indeks Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dan melakukan penyelidikan pada setiap masa.

"Kami hargai setiap komen dan sentiasa mengambil langkah lanjut untuk memperbaiki kualiti setiap menu dihidangkan," katanya.