BERITA

Konvensyen Pakatan pemanas demo 1 Mei

Ahmad Fadli KC

Diterbitkan
Dikemaskini 18 Feb 2014, 8:24 pagi

Konvensyen Pakatan Rakyat kelima pada 8 Mac ini akan menjadi 'pentas pemanas' bagi satu lagi himpunan besar-besaran pada 1 Mei depan, kata Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution.

Himpunan besar-besaran Pakatan Rakyat pada 1 Mei - Hari Buruh - untuk membantah harga barang diumumkan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu hujung tahun lalu.

"Akan ada satu lagi acara penting iaitu himpunan 1 Mei 2014.

"Jadi, kita berharap konvensyen 2014 akan dapat dijadikan sebagai warming up platform untuk mengangkat dan menjelaskan isu-isu yang dekat dengan rakyat," katanya pada sidang media selepas mesyuarat majlis setiausaha Pakatan Rakyat, pagi ini.

Menurut Saifuddin lagi, konvensyen kali ini akan turut menampilkan beberapa NGO yang dilihat memperjuangkan isu yang hampir sama dengan Pakatan Rakyat.

Antaranya NGO Bela Tani yang memperjuangkan harga padi, wakil guru-guru yang menolak Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS), perikatan longgar wartawan Gerakan Media Marah (GERAMM), dan TURUN yang membantah kenaikan harga barang.

Sebelum itu, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali mengumumkan konvensyen kali ini akan berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam bermula pada kira-kira jam 8 pagi sehingga jam 4.30 petang.

"Tema kali ini adalah 'Pakatan Bersama Rakyat'," katanya selepas selesai mesyuarat majlis setiausaha Pakatan Rakyat bersama Saifuddin dan Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke di ibu pejabat PAS.

Ditanya wartawan, Saifuddin menafikan konvensyen kali ini bertujuan untuk membincangkan secara khusus tentang pilihan raya kecil Kajang atau perubahan dalam kepimpinan Pakatan Rakyat di Selangor.

Bagaimanapun katanya, pihak sekretariat tiada sebarang masalah jika mereka yang akan berucap pada konvensyen itu memilih untuk bercakap secara "sekali lalu" tentang PRK Kajang.

Jelasnya lagi, Pakatan Rakyat juga tidak menjemput Parti Sosialis Malaysia (PSM) untuk turut serta dalam konvensyen itu.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.