Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bomoh di KLIA: K'jaan kata tak terlibat
Diterbitkan:  Mar 14, 2014 5:18 PM
Dikemaskini: 10:23 AM

Kementerian Pengangkutan menegaskan bahawa kerajaan tidak terlibat dengan usaha perbomohan untuk mengesan pesawat MH370, seperti dua upacara yang dilakukan oleh seorang pengamal perubatan alternatif Ibrahim Mat Zain di KLIA minggu ini.

"Berhubung dengan kehadiran bomoh di KLIA, dengan ini kami memaklumkan kerajaan pesekutuan, kerajaan negeri mahupun agensi kerajaan tidak terlibat dengan kehadiran bomoh itu di lapangan terbang itu," kenyataan itu dipetik.

Kenyataan itu timbul susulan laporan meluas oleh media antarabangsa yang mendakwa kerajaan Malaysia tiada cara lain untuk mengesan pesawat Malaysia Airlines tersebut sehingga terpaksa menggunakan khidmat bomoh.

Ibrahim pada hari Isnin lalu mendapat perhatian meluas apabila muncul di balai berlepas KLIA dengan dua batang buluh dan satu bubu.

Bubu itu diletakkannya di atas kepala seorang lelaki yang hadir di situ dan beliau menggunakan batang buluh berkenaan sebagai satu teropong untuk meninjau ke arah bubu berkenaan sambil membaca surah Yasin.

Beliau muncul sekali lagi pada hari Rabu dan bersama tiga orang pembantu yang diarahkannya supaya duduk bersila dalam satu barisan di atas satu pengalas, dengan diperhatikan oleh orang ramai.

Dalam upacara tersebut, salah seorang pembantunya itu menggunakan sebatang tongkat untuk membuat gaya mendayung sampan dan seorang lagi menggunakan satu bakul untuk menunjukkan gaya mencedok air.

Individu terakhir dalam barisan tersebut memegang dan menggerakkan buah kelapa di kedua-dua belah tangan.

Dalam upacara itu mereka turut melaungkan takbir beberapa kali.

Upacara tersebut antara lainnya mendapat teguran bekas mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang menyifatkannya sebagai "satu kerja bodoh".

Asri berkata, amalan “khurafat dan tahyul” itu tidak boleh diterima sama sekali kerana bertentangan dengan akal waras.

Menurut Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, panel Kajian Akidah Jakim pada November 2004 telah pun memutuskan bahawa rawatan perbomohan Ibrahim Mat Zin bercanggah dengan aqidah Islam.

ADS