Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Malam 24 Mac 2014 itu sungguh hening. Selain kipas siling yang berpusing, cengkerik berbisik, suara serak Hala Gorani di saluran CNN aku tidak dapat membayangkan bagaimana seorang remaja bernama Maira Elizabeth Nari mengharung malam yang serasa panjang, lusuh dan berantak luluh.

Ia memberitahu kepada ayahnya, salah seorang krew MH370, dengan pengakhiran dari siri-siri tweet yang penuh perasaan:

"God loves you more daddy....God loves them more."

Bagaimanakah ia pada malam itu? Adakah bantalnya basah oleh air mata, atau adakah ia benar-benar percaya bahawa Tuhan benar-benar kasihkan ayahnya, dan mengasihi semua yang terpilih dalam pesawat MH370 itu? Adakah ia berjaga malam untuk berdoa?

Selama 17 hari, Maira Elizabeth Nari telah menunjukkan kepada seisi dunia betapa ia seorang perempuan yang teguh. Ia berusaha mempamerkan kepada dunia, ia adalah seorang perempuan nan bercinta.

Tentu, 17 hari itu adalah penyeksaan, kesengsaraan, penderitaan dan kesakitan jiwa yang tiada hentinya. Kita tidak dapat membayangkan. Tiap jam dan detik, makan dan minumnya, tidur dan jaganya diserang suatu rasa yang sukar disenarai dan diperihalkan.

Akan tetapi ia telah menjadi teguh, tiap hari ia memberitahu kepada seluruh dunia bahawa ia mesti menyimpan harapan dan impian supaya ayahnya Andrew Nari akan pulang lalu memesan supaya ia tidak berjaga larut malam.

Ia malah mengimpikan dan membayangkan kebahagiaan jika ayahnya menyertai menonton perlawanan bola sepak bersama, ia bahkan mengingatkan ayahnya supaya makan malam, bahawa seisi media menceritakan kisah ayahnya dan kini ayahnya masyhur serata alam.

Maira juga tidak menyembunyikan rasa rindunya, berdoa supaya ayahnya pulang kerana ia sangat-sangat merindui belaian lelaki yang dikenal sebagai bapanya.

Ia adalah hubungan indah seorang anak perempuan dan ayahnya. Ia membanjiri rasa kami di sini.

Membaca ulang notaku ini, aku merasakan suatu tusuk pedih dalam hati bahawa Andrew tidak akan ada ketika Maira Elizabeth Nari mengenakan gaun perkahwinan kelak. Satu hari nanti Andrew tidak akan ada saat Maira Elizabeth Nari naik ke pentas menara gading untuk menerima ijazah.

Lama nanti, saat semua duka dan kisah pilu tragis ini terhapus dari ingatan kita semua, Andrew tidak akan pulang untuk melihat Maira Elizabeth Nari melahirkan seorang bayi yang comel dan gebu. Itu semua adalah kisah yang sungguh mengharukan.

Tetapi, sungguh bermakna dan memuhasabahkan yang Andrew Nari dilepaskan oleh Maira Elizabeth Nari kepada Tuhan Yang Maha Pengasih, Allah Yang Maha Penyayang, Pencipta Yang Maha Mendengar rintih dan sedu sedan seorang gadis yang tulus dengan penuh adab dan santun.

Sungguh Andrew Nari telah mendidik dan mengasuh dengan jaya sekali. Duhai Andrew, duhai kawan...bagaimana kau melakukannya? Kalau kau masih hidup bolehkah kita berkawan dan aku ingin belajar daripadamu.

Tentu, Tuhan yang kau yakini itu Maira berbeza sekali dengan Tuhan kepada sesetengah manusia yang percaya bencana dan nahas ini terjadi kerana “menjamu makanan dan perkara haram dalam pesawat”.

Tuhan kasih sayang buat Maira itu bukan Tuhan untuk manusia gila yang penuh andaian, “Mereka yang meminta arak itu, adalah di kalangan mereka yang biasa meminum arak. Cuba alihkan mereka dengan makan tempatan yang lebih berkhasiat seperti cendol dan sebagainya.”

Bapamu Maira tidak terceroboh dan terjerumus ke dalam lautan selatan itu kerana tiada “pramugari menutup aurat (Islam) dan pakaian bersopan untuk bukan Islam”. Tidak ada sebabnya mengapa Tuhan harus mengambil ayahmu kerana sebab-sebab itu. Tuhan dan pembalasan keromo demikian tidak melekat antara satu sama lain.

Tuhan kepada manusia kepincangan benak itu Maira adalah Tuhan yang mengazabkan, Tuhan yang tidak belas, Tuhan yang membencanakan. Itu bukanlah Tuhan yang kau imani tentunya.

Tekadlah dengan doamu Maira. Usah kau dengar dan baca karut-marut yang dikalam si hina itu. Percayalah dengan Tuhanmu. Mencarilah. Kau pasti menemukan.

Keadilan Ilahi itu Maira adalah dasar kepada agama. Aku berpesan kepadamu, “keadilan dan tauhid itu adalah daripada alawi, sedang keterpaksaan dan penyerupaan adalah daripada umawi.”

Tuhan kita Maira memerintahkan kepada keadilan dan kebajikan, justeru Tuhan juga melakukan kedua-duanya. Nahas tercipta Maira kerana sebab dan akibat yang perlu ditekuni, dan sehingga kita maklum akan semua itu, kau memang berhak untuk merasakan kecintaan sepenuhnya buat ayahmu.

Aku memohon supaya kau mendengar kata nuranimu yang lebih bersih itu, janganlah kau mendengar lemparan kata seorang manusia yang percaya bahawa konon ibunya tidak beriman sepertinya; maka ibunya akan ke neraka, sedang ia sudah memeluk Islam maka terjamin berakhir di syurga. Tidak seperti itu. Allah telah meninggikan langit dan Dia telah meletakkan neraca (keadilan).

Sungguh Maira, kau termasuk dalam kalangan “sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi sentiasa berhajat dan memohon kepada-Nya.” Dari cerita-ceritamu ternyata bapamu adalah seorang yang penuh dengan kebaikan, maka kebaikan akan diberi balas kebaikan dengan setimpal.

"God loves you more daddy....God loves them more", ungkapan derita, reda dan penuh mulus daripadamu itu Maira membuatkan aku malu. Ia harusnya membuat pendakwah yang berprasangka itu juga malu. Kerana Maira, saat aku membaca catatan redamu itu aku teringat dengan pantas munajat Musa alaihissalam, saat Musa bertanya kepada Tuhan; “Wahai Tuhanku, siapakah di antara hamba-Mu yang paling mencintai-Mu?” Allah membalas, “Hamba-Ku yang sekiranya Ku-ambil kekasihnya, maka ia menyerahkan kepada-Ku.” Lantas Nabi Musa bertanya lagi, “Siapakah di antara hamba-Mu yang Engkau benci?” Allah menjawab, “Hamba-Ku yang meminta pilihan di dalam suatu perkara, lalu ketika Aku memutuskannya, ia benci terhadap ketetapan-Ku”.

Kelihatannya Maira, kami semua perlu belajar daripadamu. Di manakah kekuatan, dan reda yang kau perolehi itu? Sungguh Maira, redamu itu adalah reda orang mukmin.

As-Sadiq pernah ditanyai, “Bagaimanakah mengetahui orang mukmin adalah seorang yang Mukmin?”. As-Sadiq telah menjawab, “Dengan penyerahan dirinya kepada Allah dan keredaanya terhadap kebahagiaan dan kesengsaraan yang ada padanya.”

Kami semua, termasuk pendakwah yang menuduh penumpang di atas pesawat itu pemaksiat harus malu dan tahu bahawa kau Maira kelihatannya telah mengenal bahkan mengecap nikmat Inna lillahi wa inna ilahi rajiun , sesungguhnya kami hanya milik Allah dan kepada-Nyalah kami akan berangkat kembali.

Dan intipati doktrin tauhid itu kau rapikan dalam mesej penuh keremajaan tetapi amat lara bagi jiwa kami, ia berbunyi - "God loves you more daddy....God loves them more".

Kau telah memilih Tuhan untuk menghiburkanmu Maira, dan itu menakjubkan kami sama sekali. Apakah Tuhan akan meninggalkanmu Maira? Tidak sama sekali.

MH370. Damailah di kejauhan yang dalam dan bergelora itu. Maira Elizabeth Nari dan bapanya adalah satu dari 239 buah ceritera yang sungguh menyayat kalbu.

Yang menjadikan ia tambah menghiris adalah kerana Maira yakini, percaya dan berdoa supaya Tuhan Yang Maha Baik itu menjaga ayahnya dengan penuh kasih sayang. Aku menangis mengenangkan, menangis buat Maira. Kerana tanpa pusara untuk dilawati, hanya lautan luas yang bergelora dan dalam sekali, perasaan Maira itu amatlah menggegarkan setiap manusia yang mempunyai perasaan.

Sungguh Maira, Tuhan telah mendakap ayahandamu dengan intim sekali. Percayalah. Lupakanlah kata-kata kosong kepada kebencian yang berlekatan di hati segelintir manusia. Percayalah Maira, seperti kata-katamu itu, "God loves you more daddy....God loves them more" adalah benar dan tiada lagi yang benar. Kerana, Ilahi itu Adil dan Keadilan Ilahi itu pasti.

Untuk keyakinan dan kekuatanmu Maira, kami membacakan buat bapamu dan seluruh insan, manusia, dan makhluk ciptaan Allah Yang Maha Penyayang dalam pesawat itu serangkai selawat. Juga al-Fatihah.

ADS