Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ibrahim Ali: PM patut tak gopoh di T'ganu
Diterbitkan:  May 13, 2014 3:24 PM
Dikemaskini: 7:42 AM

Pengerusi NGO pendesak Melayu PERKASA, Datuk Ibrahim Ali berkata perdana menteri sepatutnya "tidak gopoh" dalam menerima peletakan jawatan bekas menteri besar, Datuk Seri Ahmad Said.

Menurutnya, Datuk Seri Najib Razak dari awal lagi sepatutnya mempertimbang permintaan Ahmad yag meminta peletakan jawatannya ditangguhkan sehingga kenduri kahwin anaknya selesai.

"Difahamkan beliau ada minta tangguh selepas selesai anaknya kahwin (dalam masa) sebulan dua lagi. Najib katanya tidak setuju.

"Kalaulah betul itu yang diminta, Najib patut timbang dan tidak gopoh menerima perletakan jawatan Ahmad Said.

"Kena bijak buat keputusan yang gembirakan semua pihak. Sekarang nasi sudah jadi bubur," kata Ibrahim dalam kenyataannya.

Ahmad Said semalam memaklum beliau tiada masalah untuk melepaskan jawatan menteri besar.

Namun, beliau memaklumkan Najib yang beliau mahu berbuat demikian selepas kenduri kahwin anaknya pada 17 Mei ini.

'Pak Lah dulu malukan saya'

Menurut Ibrahim lagi, Najib sewajarnya belajar daripada sejarah pilihan raya ke-12 dahulu apabila PAS kekal di tangan pembangkang kerana kejadian yang hampir sama menimpa dirinya.

"Saya dulu digugur oleh Tun Abdullah Badawi ( kiri ) sebagai ketua bahagian Pasir Mas tanpa sebab.

"Abdullah malukan saya (dan kemudian) saya bertanding kerusi bebas dalam PRU ke-12.

"PAS kemudiannya selamat dua kerusi untuk terus memerintah Kelantan. Masa itu Datuk Seri Najib adalah timbalan presiden dan pengerusi jawatankuasa pengurusan (Umno).

"Patut belajar dari sejarah saya. Di Terengganu BN lebih dua kerusi sahaja dan patut hati-hati dan berhemah," katanya lagi.

BN kini menguasai hanya 14 kerusi di Terengganu berbanding Pakatan Rakyat yang menguasai 15 kerusi dengan tiga lagi kerusi merupakan kerusi bebas.

Situasi itu tercetus apabila tiga wakil rakyat mengisytiharkan mereka keluar daripada Umno lewat malam semalam.

Mereka ialah bekas menteri besar dan ADUN Kijal Datuk Seri Ahmad Said, Ghazali Taib (Ajil) dan Roslee Daud (Bukit Besi).

ADS