Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Enakmen tak beri kuasa mutlak pada Sultan'
Diterbitkan:  Jun 9, 2014 7:45 PM
Dikemaskini: 1:44 PM

Majlis Raja-Raja Johor menjelaskan bahawa peruntukan dalam Enakmen Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor 2014 tidak memberi kuasa mutlak kepada Sultan Johor.

Satu kenyataan yang dikeluarkan oleh presiden Majlis Raja-Raja Johor menyebut ia juga bukan satu bentuk campur tangan Istana dalam bidang pentadbiran negeri.

Satu kenyataan yang dikeluarkan jemaah tersebut petang ini menyebut, enakmen tersebut perlu dibaca bersama dengan Perlembagaan Johor 1895, yang menetapkan pemisahan kuasa pentadbiran.

"Peruntukan dalam rang undang-undang ini tidak bermaksud untuk menyerahkan kuasa mutlak kepada ketua negeri, oleh itu tidak boleh dianggap sebagai campur tangan monarki dalam pengurusan negeri.

"Ia juga tidak melanggar konsep raja berperlembagaan," kenyataan itu dipetik.

Kenyataan tersebut menggariskan tiga peruntukan utama dalam bahagian kedua Perlembagaan Johor – Perkara 2(1), Perkara 7(1) dan Perkara 7(3).

"Perkara 2(1) menetapkan kuasa eksekutif negeri tertakluk kepada raja namun fungsi eksekutif boleh diberikan kepada orang atau pihak berkuasa lain.

"Perkara 7(1) pula secara khusus menyatakan bahawa dalam pelaksanaan fungsinya mengikut perlembagaan, raja boleh bertindak mengikut nasihat majlis mesyuarat kerajaan negeri atau anggota yang bertindak mengkur kuasa majlis.

"Peruntukan itu seterusnya menetapkan bahawa sultan boleh diberikan maklumat mengenai kerajaan atas permintaan."

Kenyataan dalam bahasa Inggeris itu dikeluarkan oleh presiden Majlis Raja-Raja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli hari ini.

Ia menjawab perdebatan yang timbul – sama ada institusi diraja boleh diberikan kuasa eksekutif.

Rang undang-undang tersebut mengandungi peruntukan yang memberi kuasa kepada sultan untuk melantik anggota lembaga, menentukan imbuhan, menyelia akaun lembaga dan juga membubarkan lembaga berkenaan.

Ia memberi tekanan kepada Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin, termasuk dari kem BN, agar membuat pindaan kepada rang undang-undang tersebut.

Walau dengan pindaan terbabit, Khaled menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak berhasrat untuk memberi kuasa eksekutif kepada sultan kerana rang undang-undang tersebut perlu dibaca bersama dengan perlembagaan negeri.

[Baca berita penuh]

ADS