BERITA

Tewas pemilihan isyarat ahli tolak Khalid jadi MB

Diterbitkan
Dikemaskini 1 Jul 2014, 5:08 pagi

Ekoran kekalahan beliau dalam pemilihan ketua cabang PKR di Kuala Selangor, dua ahli parlimen PKR mendesak Tan Sri Khalid Ibrahim mengambil tanggungjawab moral melepaskan jawatan menteri besar Selangor.

MP Bukit Katil Shamsul Iskandar Md Akin berkata penolakan pada akar umbi memberi isyarat politik supaya Khalid tidak terus mengetuai pentadbiran negeri itu, lapor Berita Harian hari ini.

"Khalid jangan ingat jawatan menteri besar itu akan dipegang selamanya kerana ia diberikan berdasarkan mandat rakyat dan parti.

"Dalam hal ini, beliau sudah tidak mendapat mandat walaupun akar umbi daripada cabangnya sendiri. Itu isyarat jelas supaya tidak terus memimpin," katanya seperti dilapor akhbar itu.

Pada pemilihan cabang itu baru-baru ini, Khalid tewas kepada bekas ahli parlimen Kapar S Manickavasagam merebut jawatan ketua cabang Kuala Selangor.

Khalid yang juga ADUN Pelabuhan Klang mendapat 515 undi manakala Manickavasagam memperolehi 701 undi.

Bagaimanapun Khalid berkata beliau tidak perlu melepaskan jawatan menteri sekalipun tewas merebut jawatan timbalan presiden dan ketua cabang kerana tiada klausa yang mengarahkan supaya berbuat demikian.

Dalam akhbar itu juga menyebut, MP Kuala Langat Abdullah Sani Abdul Hamid pula meminta Khalid akur dengan desakan akan umbi itu demi kepentingan parti yang perlu diutamakan berbanding kepentingan peribadi.

Menurut akhbar itu lagi, Abdullah berkata tiada pihak mempunyai kekebalan dalam jawatan politik termasuk jawatan menteri besar memandangkan ia hak komponen dalam Pakatan Rakyat.

Katanya lagi tidak sepatutnya mana-mana pemimpin mengeluarkan kenyataan mendesak parti mengekal jawatan mereka.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.

Iklan