Penganalisis politik Dr Maszlee Malik berpendapat, adalah tidak wajar sekiranya terdapat larangan yang meminta kedai makanan tidak dibuka sebelum jam 3 petang sempena bulan Ramadan.

Maszlee, pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) juga meminta semua pihak agar tidak mengeluarkan kenyataan yang lucu berhubung perkara yang melibatkan agama Islam.

"Agama Islam ini jadi bahan lawak. Setiap hari, setiap minggu terutama di bulan Ramadan, banyak stok ketawa dari orang agama. Cukuplah jadikan agama perkara yang lucu.

"Ada pihak yang tidak sempat untuk membeli juadah berbuka pada waktu petang, ada juga orang yang uzur, kanak-kanak yang tidak berpuasa dan orang yang bermusafir pun dibenarkan untuk berbuka.

“Perkara ini pilihan individu. Jadi tak wajar hadkan selepas pukul 3 baru boleh menjual," katanya ketika ditemubual KiniTV hari ini.

Exco Kedah Badrol Hisham Hashim semalam dilaporkan berkata, premis makanan negeri itu yang beroperasi sebelum 3 petang dalam bulan Ramadan bakal ditarik balik lesen perniagaan atau disita.

Pengecualian diberikan kepada restoran francais makanan segera dan sebuah restoran di Langkawi atas faktor pelancongan, lapor Bernama .

Menteri agama Datuk Seri Jamil Khir Baharom ( kiri ) pula mengambil kesempatan mengingatkan perkara sama dan berkata jabatan agama seluruh negara patut memantaunya.

Malah kata Jamil, jabatan agama dan agensi berkaitan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap pemilik kedai yang tidak patuh undang-undang tempatan tersebut.

'Kenapa kedai kecil saja?'

Sehubungan itu, Maszlee turut mempersoalkan mengapa restoran francais makanan segera yang beroperasi 24 jam tidak dikenakan tindakan sama.

"Kenapa kedai-kedai kecil? Seringkali polisi seperti ini menekan golongan kecil dan membiarkan golongan yang 'besar'.

“Kita perlu lihat hukum hakam dari segenap sudut konsep keadilan perlu dipertimbangkan.

"Cukuplah undang-undang yang ada dan tak perlu dengan perkara yang tak masuk akal," katanya lagi.

Lagi berita dari pengarang :
Lagi berita seperti ini :
ADS
Paling Popular
Terkini
ADS