Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Perbincangan "sulit" Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam gagal menyelesaikan krisis menteri besar Selangor yang dilihat semakin meruncing.

Sumber yang dekat pemimpin tertinggi PAS berkata tiada keputusan dicapai dalam pertemuan lebih kurang sejam itu.

PAS bagaimanapun mengambil sikap terbuka kepada semua pilihan keputusan yang ada dan akan meneruskan rundingan, kata sumber.

"Keputusan gagal, biar pilihan itu (bagi calon MB) terbuka dan keputusan (muktamad) akan diputuskan pada Ahad ini (iaitu mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat).

"Kita bukan nak duduk sangat dalam kerajaan (sekarang) tetapi penyertaan kita hanya untuk melicinkan perjalanan kerajaan agar tidak menyusahkan rakyat," kata sumber PAS itu ketika dihubungi Malaysiakini petang ini.

Bagaimanapun sumber-sumber PAS itu tidak menjelaskan pilihan yang dimaksudkan.

Semalam Malaysiakini melaporkan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali masih berpeluang menjadi menteri besar baru jika mendapat sokongan PAS sekalipun PKR mencalonkan Presidennya Datuk Seri Dr Wan Azizah sebagai calon pengganti Khalid.

Malah, PAS juga sedia menarik balik sokongan kepada Khalid tetapi meminta nama baru sebagai calon penggantinya, sepakat kekal bersama Pakatan dan menarik balik sokongan pada Khalid ekoran pemecatannya.

Sementara itu, Lajnah Politik PAS pula dilapor akan bermesyuarat bagi membincangkan isu yang sama pada Khamis ini di Pejabat Agung PAS sebelum dibangkitkan dalam mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat tiga hari selepas itu.

 

Hari ini media melaporkan pertemuan pemimpin PAS dan PKR itu berlangsung di sebuah hotel di Kuala Ibai, dekat Kuala Terengganu itu dan Anwar dilapor menyifatkan ia sebagai "perjumpaan bagus, seperti biasa".

Turut serta dalam pertemuan itu, Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali, Setiausaha Politik Presiden PAS, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution.

Sementara itu, sumber PKR memberitahu Malaysiakini bahawa dalam pertemuan semalam, kepimpinan PAS "memerlukan lebih daripada satu nama sebagai calon MB".

Ia bagaimanapun masih tidak jelas sejauhmana serius tawaran alternatif itu kerana ia daripada sumber yang dekat dengan Azmin.

Sebelum ini, PKR mencalonkan Presiden PKR Datuk Seri Dr Azizah Wan Ismail untuk menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim - yang dipecat PKR - menjadi menteri besar walaupun mendapat perkenan Sultan Selangor untuk meneruskan tugasnya.

Lihat Komen
ADS