Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man meminta supaya semua ahli mematuhi arahan dan tidak membuat sebarang keputusan yang membelakangi parti.

Beliau juga meminta supaya semua ahli dapat bersabar menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pusat PAS Ahad ini.

"PAS mengingatkan ahli parti mematuhi keputusan parti dan tidak membuat sebarang keputusan yang membelakangi keputusan jemaah.

"Parti akan mengadakan mesyuarat pada 17 haribulan nanti. Harap semua bersabar," kata Tuan Ibrahim ( kiri ) melalui SMS kepada Malaysiakini .

Beliau berkata demikian sebagai mengulas keputusan dua ADUN PAS, Hasnul Baharuddin (Morib) dan Saari Sungib (Hulu Kelang) menyokong Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri besar Selangor hari ini.

Menurut dua ADUN PAS tersebut, mereka memberi sokongan kepada Wan Azizah bagi menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim kerana "dasar PAS yang bersama-sama Pakatan Rakyat".

Sebelum ini, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mempertahankan Khalid untuk kekal sebagai Menteri Besar Selangor berikutan beliau tidak pernah khianat dalam menjalankan amanah kepada rakyat.

Selain Abdul Hadi, Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat juga bersetuju seratus peratus supaya Khalid kekal memimpin Selangor.

Malah, Majlis Syura Ulamak PAS juga menetapkan pendirian agar Khalid dikekalkan jawatan itu sekiranya beliau tidak disabitkan dengan sebarang kesalahan berhubung pecah amanah.

Lihat Komen
ADS