Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Ketua Polis Negara (IGP) Tan Sri Khalid Abu Bakar perlu ketepikan sikap sombong dan sedar bahawa beliau bukan maksum atau "lembu suci" yang tidak boleh dikritik, tetapi hanyalah seorang penjawat awam yang dibayar oleh rakyat untuk melaksanakan kewajipan berkanun bagi memerangi jenayah.

Jika Khalid meletakkan usaha dalam membanteras jenayah dan penjenayah sebagaimana usaha mempertahankan dirinya dan terhadap mereka yang menyatakan pendapat mereka, maka Malaysia akan lebih selamat.

Khalid tidak boleh menyalahgunakan undang-undang jenayah atau undang-undang punitif bagi mengelak kritikan terhadap dirinya tetapi sebaliknya bergantung kepada undang-undang fitnah untuk membersihkan namanya.

Menggunakan undang-undang jenayah menentang musuh ketika Khalid mempunyai sumber penuh pada kedudukan beliau sebagai ketua polis negara, akan meletakkan pengkritiknya dalam kedudukan yang tidak adil dan tidak sama rata.

Apakah Khalid akan berjuang secara adil dengan membawa kepada mahkamah sivil terhadap mereka yang beliau dakwa memfitnah beliau?

Kerajaan negeri Pulau Pinang ingin meminta mengesahkan dakwaan Timbalan Komander Kanan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Wira Abdul Rahim Hanafi bahawa sebelas daripada 156 ahli unit Pasukan Peronda Sukarela (PPS) yang ditahan mempunyai rekod jenayah yang melibatkan kecurian, rompakan, dadah, kesalahan berkaitan kongsi gelap dan juga bunuh.

Begitu juga, mereka yang air kencing diuji positif mungkin disebabkan oleh ubat yang diambil untuk penyakit.

Pendirian anti-PPS

Kerajaan negeri Pulau Pinang juga akan berusaha untuk mengesahkan sama ada terdapat apa-apa laporan polis atau tuduhan terhadap 11 anggota ini ketika mereka melaksanakan peranan mereka secara sukarela dalam PPS.

Jika tidak, adalah tidak adil kepada keseluruhan PPS yang terdiri daripada 9,000 orang dengan maklumat yang didakwa sebagai latar belakang beberapa ahli.

Apakah perlu untuk 120,000 anggota polis juga didakwa hanya kerana tindakan beberapa anggota polis yang terlibat dalam pembunuhan kejam menggunakan bahan letupan C4, menyebabkan kematian tahanan, jenayah kejam seperti rompakan atau menyalahgunakan kuasa mereka dengan terlibat dalam rasuah?

Kerajaan negeri Pulau Pinang telah menegaskan bahawa tiada anggota PPS akan dilindungi jika mereka melakukan apa-apa kesalahan atau melanggar undang-undang melainkan akan tertakluk penuh kepada undang-undang.

Penduduk Pulau Pinang boleh membuktikan kerja baik yang telah dilakukan PPS, khususnya membantu orang ramai dan polis untuk menjalankan sukarela polis komuniti.

Malangnya media yang dikawal BN, termasuk beberapa dalam akhbar Cina, telah menerima pakai pendirian BN yang anti-PPS.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang ingin mengulangi bahawa PPS tidak pernah menerima apa-apa aduan bertulis daripada pihak polis terhadap PPS secara keseluruhan.

'Lapor terus pada saya'

Jika terdapat sebarang aduan sebegini, aduan ini seharusnya dimaklumkan oleh pihak polis kepada ahli exco negeri Pulau Pinang Phee Boon Poh atau diri saya.

Adalah dikesali apabila media yang dikawal BN yang sama ini telah memutar-belit isu PPS menjadi isu politik untuk menekan kerajaan negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah menubuhkan PPS untuk menyediakan bantuan kecemasan dalam kemalangan, perkhidmatan kecemasan dan menyelamat dan juga sebagai tindak balas kepada seruan oleh pihak polis untuk mengukuhkan polis komuniti bagi memerangi jenayah.

Kerajaan negeri mempunyai kuasa untuk menubuhkan badan seperti itu mengikut cara yang sama penubuhan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) atau JKKK(P) yang telah ditubuhkan oleh kerajaan persekutuan.

Berikutan penangkapan 156 dan sementara menunggu sebutan kes di mahkamah berhubung penangkapan mereka, kerajaan negeri Pulau Pinang telah mengumumkan bahawa semua ahli PPS akan “direhatkan” daripada menjalankan kerja-kerja sukarela dan tidak memakai jaket seragam mereka.

Keputusan ini menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang menghormati kedaulatan undang-undang dan keputusan oleh mahkamah.

Sementara itu kita berharap polis akan menangani kebimbangan awam tanpa kehadiran polis komuniti, dan menguruskan kemalangan dan perkhidmatan menyelamat kecemasan tanpa kerja sukarela daripada 9,002 anggota PPS.

Kerajaan negeri Pulau Pinang terus komited untuk Pulau Pinang yang lebih selamat dan mengekalkan status Pulau Pinang sebagai negeri yang paling selamat di Malaysia.


LIM GUAN ENG ketua menteri Pulau Pinang.

Lihat Komen
ADS