Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kumpulan pro-Hadi keluar ketika Mat Sabu berucap
Diterbitkan:  Sep 16, 2014 5:23 PM
Dikemaskini: 11:33 PM

Kira-kira 50 perwakilan Pemuda PAS keluar dewan muktamar ketika Timbalan Presiden parti itu, Mohamad Sabu menyampaikan ucapan perasmiannya.

Mereka memakai jaket warna hitam bertulis 'Kami bersama Presiden dan Majlis Syura Ulamak.'

Mohamad Sabu, yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu, tidak sehaluan dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan ulama PAS berhubung isu menteri besar Selangor.

Kebanyakan mereka dipercayai perwakilan dari Pahang, Terengganu dan Selangor.

Mereka bertindak keluar meninggalkan dewan sebaik sahaja

Mohamad memulakan ucapan perasmian muktamar Dewan Pemuda PAS pusat.

Beberapa di antara mereka yang keluar itu enggan memberi komen.

Sungguhpun begitu, lebih 700 perwakilan Pemuda lain yang hadir tidak terpengaruh dengan tindakan kumpulan itu sebaliknya memberi tumpuan kepada ucapan beliau.

Dalam sidang medianya kemudiannya, Mohamad menafikan tindakan kumpulan itu sebagai tanda protes terhadap ucapannya dan beliau mengakui "tidak nampak" perbuatan mereka itu.

'Mungkin pergi solat'

Beliau bagaimanapun menganggap mungkin tindakan kumpulan itu keluar untuk menunaikan solat dan kemudiannya akan memasuki kembali dewan persidangan itu.

"Tak ada (protes)...Saya tak nampak, mungkin orang pergi sembahyang dan sebagainya dan masuk kembali, biasalah itu," katanya yang mengganggap "biasa" apabila kumpulan itu memakai vest seumpama itu.

Kenyataan Mohamad itu turut dipersetujui oleh Ketua Pemuda PAS Suhaizan Kaiat yang hadir dalam sidang media itu.

"Saya rasa begitulah, sebab waktu sudah lewat, ada yang ada pergi sembahyang," katanya.

Sementara itu, Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub pula ketika ditemui pemberita berkata beliau tidak dapat memastikan hal itu kerana beliau berada depan pentas.

Beliau berkata jika benar,  bekas ketua Pemuda PAS itu menyifatkan ia "suatu yang tidak sepatutnya berlaku".

 

"Walau macam mana pun, kita akan dengar laporan nanti daripada muktamar Pemuda tentang apa yang berlaku. Saya tidak nampak dengan  mata saya sendiri kerana saya duduk di barisan hadapan," katanya.

Lihat Komen
ADS