BERITA

Buktikan PKR 'beli' saya, kata Saari pada Hadi

Diterbitkan
Dikemaskini 22 Sep 2014, 5:19 pagi

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS Saari Sungib dilapor mencabar presiden partinya Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk mengemukakan bukti beliau “dibeli” oleh PKR.

Perkara itu dilontarkan ekoran tindakannya menandatangani akuan berkanun (SD) yang menyokong Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Ismail sebagai pengganti Menteri Bersar Tan Sri Khalid Ibrahim.

Saari, wakil rakyat Hulu Selangor menjelaskan, beliau menandatangani SD itu bagi mengelakkan Khalid menyebabkan lebih banyak masalah pada negeri itu, lapor The Star Online .

“Peguam menjelaskan bahawa ADUN mesti memindahkan sokongan kepada calon lain untuk mengesahkan SD itu, dan kami sokong Wan Azizah kerana PKR dan DAP setuju dengan pencalonannya,” beliau dipetik sebagai berkata.

Hadi semalam berkata, PKR tidak patut " mencuri " dua wakil rakyatnya, Saari dan Hasnul Baharuddin (Morib), untuk menyokong Azizah sebagai calon menteri besar.

"Takut majoriti tak dapat, curi wakil rakyat kita, beli wakil rakyat. Adakah ini etika bertahaluf?

"Kita tidak memandang ringan, dua wakil rakyat yang sanggup menyeberang, yang jadi broker, yang jadi barua, semua ada,” katanya.

Portal berbahasa Inggeris itu juga hari ini melaporkan Saari sebagai menegaskan, beliau hanya cuba mengekalkan kekuatan Pakatan di Selangor.

“Banyak ulama dalam parti, tetapi mereka masih benarkan tindakan mengutuk saya atas tindakan saya, yang sebenarnya hukuman sebelum perbicaraan. Parti Islam jenis apa ini?

“Di muktamar, pengerusi tetap tidak campur tangan apabila perwakilan berdoa supaya tuhan murka pada saya. Perkara ini sangat memalukan parti,” belia dipetik sebagai berkata.

Perwakilan dalam muktamar PAS sebelum ini mengambil peluang dalam ucapannya untuk membacakan doa mengutuk Saari dan Hasnul selain Timbalan Presiden Mohamad Sabu.

Wakil PAS Wilayah Persekutuan Azhari Ariffin berkata, dua ADUN itu ibarat ejen perosak dalam parti dan menyifatkan mereka sebagai “nila setitik yang merosakkan susu sebelanga”.

[Baca berita asal]

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.