Terima kasih rakyat Selangor!

   

ULASAN Syukur Alhamdulillah hari ini merupakan hari terakhir saya sebagai Dato’ Menteri Besar Selangor selepas lebih enam tahun memegang jawatan ini bermula pada Mac 2008 sehinggalah ke hari ini, 22 September 2014.

Saya mengambil peluang ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua terutama kepada rakyat Selangor yang telah memberi kepercayaan kepada saya untuk menerajui pentadbiran negeri termaju di Malaysia ini.

Saya juga amat berbangga dengan kerjasama dan komitmen yang telah ditunjukkan oleh pegawai dan kakitangan kerajaan, anak-anak syarikat, agensi kerajaan dan badan-badan berkanun yang membolehkan banyak perubahan dilaksanakan berbanding pada awal pertukaran pucuk pimpinan.

Saya berbangga kerana dalam tempoh enam tahun ini, Negeri Selangor yang diurus berlandaskan prinsip-prinsip urus tadbir yang baik terutama kompetensi, ketelusan, kebertanggungjawaban dan integriti telah mencapai banyak kejayaan yang membanggakan dan lebih penting Negeri Selangor bebas dari gejala rasuah dan penyelewengan.

Dasar Hasil Negeri Untuk Rakyat yang diperkenalkan sejak 2008 menerusi program-program kebajikan di bawah agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) berjaya mencapai matlamat untuk meningkatkan taraf hidup rakyat terutamanya mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana.

Kita telah membelanjakan lebih RM1.6 bilion semenjak 2008 bagi membiayai pelbagai inisiatif dan skim bersifat kebajikan di bawah MES di mana sekurang-kurangnya empat juta penduduk di Selangor menikmati salah satu daripada inisiatif ini.

Menerusi dasar berjimat cermat dan perbelanjaan berhemah, rizab simpanan negeri Selangor meningkat kepada RM3.3 bilion setakat ini dan sebahagian simpanan ini telah kita gunakan untuk projek-projek pembangunan seperti pembinaan Jambatan Ketiga Klang dan perumahan mampu milik.

Di bawah pentadbiran saya dan rakan-rakan EXCO, Negeri Selangor meneruskan tradisi sebagai pemangkin ekonomi negara dengan menyumbang lebih kurang 24 peratus kepada KDNK Malaysia di samping kekal menjadi antara destinasi pelaburan terunggul.

Kita juga telah mencapai persetujuan bersejarah dengan Kerajaan Persekutuan dan empat syarikat konsesi untuk menstruktur semula perkhidmatan air setelah melalui satu proses yang bermula sejak 2008 supaya semua aset air dapat dikembalikan kepada rakyat di samping memastikan perkhidmatan air bertaraf antarabangsa pada harga berpatutan.

Ingin saya tegaskan bahawa tawaran untuk mengambilalih syarikat-syarikat konsesi adalah adil dan saksama bagi semua pihak tanpa memberi kelebihan kepada mana-mana pemegang konsesi memandangkan matlamat utama adalah memelihara kepentingan rakyat kerana air merupakan antara hak asasi.   

Walaupun hanya satu konsesi yang belum memuktamadkan tawaran namun ia tidak sepatutnya menjejaskan  tawaran yang telah  kita buat sejak 2012 berjumlah RM9.65 bilion.

Pada hari ini juga, kerajaan negeri telah menandatangi Perjanjian Pemindahan Aset untuk memindahkan semua aset air milik negeri bernilai RM14.92 bilion kepada Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Perjanjian ini ditandatangani oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Khusrin Munawi mewakili kerajaan negeri manakala Air Selangor diwakili oleh Suhaimi Kamaralzaman.

Saya berpuashati dengan perkembangan penstrukturan semula industri air Selangor yang sedang berlaku sekarang dan yakin hasrat untuk memberi semula hak air kepada rakyat sepertimana yang terkandung dalam manifesto akan tercapai.

Justeru, saya berharap kepimpinan baharu kerajaan negeri akan berjaya merealisasikan hasrat kerajaan negeri untuk memberi saham air kepada seluruh isi rumah di Negeri Selangor.


KHALID IBRAHIM berkhidmat sebagai menteri besar Selangor di bawah kerajaan Pakatan Rakyat selama enam tahun.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

VOIZ

Berita Terhangat