Malaysiakini
BERITA Malaysiakini

Exco: 'Satu lagi pengorbanan PAS'

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

PAS menganggap pengurangan jumlah Exco kerajaan Selangor dari PAS - daripada empat kepada tiga orang - sebagai di luar jangkaan, tetapi parti itu menerimanya dengan hati yang terbuka.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, PAS memahami 'kesukaran membuat pilihan' oleh Menteri Besar, Azmin Ali, lapor Harakahdaily.

Sebelum ini, komposisi Exco kerajaan negeri Selangor ialah PAS (4 ), PKR (3) dan DAP (3). Kini PKR mempunyai empat orang Exco dan DAP kekal tiga orang.

Tiga Exco PAS yang dilantik hari ini ialah Iskandar Abdul Samad (ADUN Chempaka), Dr Ahmad Yunus Hairi (ADUN Sijangkang) dan muka baru Zaidy Abdul Talib (Templer).

Exco yang tidak dikekalkan ialah Ustaz Sallehen Mukhyi (Sabak) dan Dr Halimah Ali (Selat Klang).

"Apapun kita yakin beliau (menteri besar) telah berusaha mengimbangi suasana yang ada sebaik-baiknya.

"Apa yang lebih penting bagi kita ialah, ini satu lagi pengorbanan yang PAS perlu lakukan untuk melihat krisis di negeri Selangor selesai, dan Pakatan boleh bergerak ke hadapan," kata Mustafa kepada Harakahdaily.

Mustafa menegaskan, semua pihak perlu menghargai setiap pengorbanan yang dilakukan oleh mana-mana pihak.

Tegasnya, musuh sebenar Pakatan adalah BN dan bukan sesama parti dalam Pakatan Rakyat.