Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Khalid Samad tuduh ISMA sengaja besarkan isu arak
Diterbitkan:  Oct 7, 2014 11:27 AM
Dikemaskini: 11:33 AM

Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad menafikan wujudnya papan iklan pesta arak Oktoberfest anjuran syarikat arak Carlsberg yang diluluskan Majlis Bandaran Shah Alam (MBSA).

Sebaliknya, Khalid mendakwa, perkara berhubung papan iklan tersebut merupakan kerja yang dilakukan oleh tentera siber Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) atau Umno yang sengaja membesarkan isu pesta arak itu.

"Hakikatnya MBSA sudah sebut tiada billboard (papan iklan) sedemikian rupa yang telah diluluskan oleh MBSA.

“Saya yakin ia kerja cybertrooper ISMA atau Umno (sudah semakin sama) yang sengaja ingin membesar-besarkan isu ini," tulis Khalid yang juga AJK PAS Pusat dalam blognya.

Selain itu, menurut Khalid sebelum ini tiada pihak yang tahu tentang kewujudan pesta arak itu memandangkan ia tidak diiklankan akhbar atau kawasan yang didiami orang Islam.

Bagaimanapun, beliau mendakwa, isu itu kini menjadi popular selepas ISMA "mengiklankan" pesta yang mula diadakan pada 24 September lalu.

"Masyarakat Islam hanya mula tahu apabila ISMA yang mengiklankan dan mempopularkannya. Sekiranya ISMA yang mengiklan dan mempopularkannya, maka adakah patut mempersalahkan orang bukan Islam? Yang ISMA sibuk sangat iklankan siapa suruh?" soalnya.

Pesta Oktoberfest tahun itu mula diadakan di hotel Subang dan beberapa tempat di Selangor dan Kuala Lumpur.

Sambutan akhir dijadual di pusat membeli belah One Utama di Petaling Jaya daripada 10 hingga 12 Oktober dan dijangka menarik perhatian 12,000 orang penggemar bir.

ISMA antara terawal bantah

ISMA, sebuah NGO lantang Melayu, antara yang mula-mula menyatakan bantahan mereka terhadap pesta itu.

Pengerusi Biro Keluarga dan Masyarakat ISMA Norlida Kamaruddin dalam laman web rasmi ISMA 29 September lalu dilaporkan menggesa pihak berwajib menghentikan festival itu.

Beliau antaranya membangkitkan kesan buruk akibat amalan minum arah yang mana “negara kelak terpaksa mengeluarkan kos untuk menyelesaikan masalah yang dibawa”.

Pada 2 Oktober, ISMAWeb melaporkan Khalid sebagai berkata, penganjuran Oktoberfest tidak boleh dihalang ekoran Malaysia sebuah negara majmuk.

“Islam mengiktiraf bahawa arak tidak merupakan sesuatu yang haram mengikut ajaran agama mereka.

“Tambahan pula pesta kemuncak yang akan diadakakan di Petaling Jaya itu adalah di kawasan majoriti bukan Islam.

“Apatah lagi jika mahu dibandingkan dosa arak dengan syirik, sebenarnya dosa syirik lebih besar berbanding arak, namun gereja dan kuil tetap dibenarkan,” beliau dipetik sebagai berkata ketika dihubungi wartawan ISMAweb.

Laman web sama kemudian mendapatkan reaksi Timbalan Mufti PerakZamri Hashim yang dilaporkan berkata, kenyataan Khalid berhubung itu itu menggambarkan beliau tidak ghirah (cemburu) dengan perkembangan yang mencabar ketuanan Islam.

Fathul Bari: Nilai semula Khalid

Exco Pemuda Umno Dr Fathul Bari Mat Jahya ( kanan ) pula sehari selepas itu turut dilaporkan ISMAweb sebagai berkata, kenyataan Khalid perlu dinilai semula.

“Memang betul kata Khalid, Malaysia adalah negara majmuk, tetapi hakikatnya yang perlu ditegaskan ialah Islam sebagai agama Persekutuan.

“Jadi penganjuran pesta arak itu tidak boleh dilakukan secara terbuka seperti di One Utama Petaling Jaya.

“Kalau nak buat sangat kena buat di kawasan tertutup, jangan buat di kawasan terbuka,” tegasnya ketika dihubungi ISMAweb .

Lihat Komen
ADS