Ulasan Malaysiakini

Lelaki Harapan Dunia jauh dari hati

Nazim Masnawi  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Filem Lelaki Harapan Dunia mula ditayang minggu lalu ketika laporan media tertumpu pada perjalanan Perhimpunan Agung Umno ke-68.

Lelaki Harapan Dunia membuka cerita dengan penuh harapan, dengan memperkenalkan watak orang kampung yang berusaha untuk memindahkan sebuah rumah milik Pak Awang lakonan Wan Hanafi Su dari satu kawasan hutan ke kawasan kampungnya.

Usaha memindahkan rumah kayu itu dengan cara memikulnya beramai-ramai mengambil masa berhari-hari. Usaha tersebut terhalang dengan sikap penduduk kampung yang digambarkan sebagai warga yang pendek akal dan mempercayai perkara tahyul.

Di peringkat ini, watak Pak Awang sering digambarkan sebagai tokoh yang membimbing golongan kampung tersebut ke ruang lebih munasabah.

Kisahnya kemudian beralih pada seorang pendatang Afrika bernama Solomon (Khalid Mboyelwa Hussein) yang sedang melarikan diri daripada pihak berkuasa dan bersembunyi di rumah tinggal terbabit.

Kelibatnya dikesan oleh seorang pemuda yang seterusnya menghebahkan kepada penduduk kampung bahawa dia terlihat hantu berkulit gelap di rumah tinggal tersebut.

Penduduk kampung menyimpulkan bahawa kelibat itu merupakan “orang minyak” dan dari situ bermula babak mengecewakan. Jelas sekali, Lelaki Harapan Dunia (LHD) bukanlah sebuah filem yang baik.

Sadur gaya Mamat Khalid

Liew dilihat cuba menyadur gaya Mamat Khalid melalui usaha melahirkan dinamisme dan interaksi di antara karakter seperti pengarah komedi itu.

Kebaikannya – Liew meniru gaya filem-filem awal Khalid yang jauh lebih baik. Namun itu sahaja berita baik yang dapat saya sampaikan – meskipun filem ini tampak sangat cantik dan rentak komedinya kurang menonjol, selain dari itu ia sangatlah leweh.

Buat sepertiga yang pertama, momentum filem ini dibina dengan baik. Kebodohan orang kampung ini membuatkan kita tertanya-tanya akan kekecohan yang bakal berlaku apabila mereka bertembung dengan Solomon kelak.

Penonton juga tertanya-tanya sama ada usaha untuk memindahkan rumah itu akan berjaya. Bagaimanapun, seperti kebanyakan pencerita yang lemah, Seng Tat tidak dapat mengekalkan tenaganya, dan filem ini mula dikacau dengan subplot dan subtema yang melibatkan karakter Wan dan Encik Juta Seri (Othman Hafsham).

Bukanlah setiap hari kita mendapat pelakon berusia emas sebagai protagonis dalam sesebuah filem berarus utama. Sebagai Pak Awang, Wan Hanafi membawa peranan itu dengan baik bersama ketrampilan yang gah.

Biarpun sebuah filem komedi, Pak Awang seorang yang tidak berjenaka namun Wan Hanafi cukup faham dengan kemerepekan hal yang berlaku di kelilingnya dalam filem ini.

Dia merupakan satu-satunya watak yang seolah-olah terus terbina di sepanjang filem ini, namun perubahan besar ke atas karakternya di pertengahan cerita hanya berlaku di antara adegan.

Khuatir

Hal ini juga terkesan pada watak lain dan ini saya yakin terjadi akibat suntingan, bukan skrip. Watak Megat (Harun Salim Bachik) yang merupakan rakan karib Pak Awang hilang begitu sahaja pada suatu ketika lalu muncul balik dengan perubahan hati yang mendadak.

Begitu juga dengan Solomon yang hampir-hampir dilupakan untuk masa yang lama. Hanya Cina lakonan Azhan Rani yang berkembang sebagai salah seorang pemuda kampung kepada antagonis utama dengan agak menyakinkan.

Kepada yang khuatir bahawa filem ini menghina Melayu, nah, di sini kita ada antagonis bernama Cina yang gemar berpropaganda bahawa orang yang bermata sepet ini berfikiran jauh.

Lelaki Harapan Dunia merupakan sebuah satira yang nampak terlalu bersungguh-sungguh untuk menyuap kita dengan agendanya. Tidak ada masalah di sini kerana ia masih lagi sebuah komedi berarus utama, dan Mamat Khalid sebelum ini pun tidak pernah berlapik-lapik dengan sindirannya.

Ralatnya di sini, Seng Tat sangat kejam dengan satiranya. Mamat juga gemar mengkritik, namun dia masih menyayangi barisan wataknya. Wataknya mungkin bodoh, tapi bukan digambarkan dengan niat yang bobrok.

Sejak minit pertama lagi, watak penduduk kampung dalam filem LHD digambarkan sebagai tolol kerana bermain kompang untuk menghalau hantu dari rumah Pak Awang.

Watak orang kampung itu seterusnya digambarkan sebagai golongan yang menjadi kian bodoh dan busuk hati. Ini cukup berlawanan dengan Mamat Khalid yang tidak pernah menjadikan warga kebanyakan sebagai antagonis.

Satira pukul keliling

Mamat Khalid hanya menjadikan golongan yang berpangkat dan berdarjat sebagai antagonis.

Banyak lapis kritikan dalam LHD melibatkan sentimen antipendatang, kuasa, manipulasi dan sebagainya. Dari satu segi, ia dihimpunkan dengan baik – segala elemen ini dikemukakan dengan sama rata. Tapi kesamarataan itu jugalah yang membawa ralat kepada cerita ini.

Seng Tat dilihat cuba menggali setiap aspek yang mengacau sesebuah masyarakat itu dari terus progresif. Seharusnya, dia hanya perlu mengambil satu aspek, seperti sikap masyarakat kita terhadap pendatang Afrika, dan mengupasnya sehabis mungkin.

Satira jenis pukul keliling inilah sering kali menjadikan agenda pencerita kita kurang bijak. Sudah tentu, kita berada dalam negara pincang yang sering dirundung masalah, namun tidak perlulah kita mengulas setiap isu yang dibaca di dada akhbar melalui satu karya filem sahaja.

Natijahnya, filem ini picik dari segi emosi. Tiada watak dalam filem ini yang dapat kita sama-sama berempati dan bersimpati kerana ia sebuah satira yang marah. Terlalu marah mungkin.

Pak Awang pada awalnya tampak seperti akan mewakili kita sebagai penonton dalam sandiwara ini, namun pada akhir cerita dia turut dibelenggu sama dek kegilaan orang kampung yang bengap.

Tema utama LHD sangatlah jelas – kebodohan dan kepercayaan tahyul kitalah yang membuatkan masyarakat gagal bergerak maju ke hadapan. Namun apa nilai sesebuah cerita itu jika ia hanya sarat dengan akal fikiran tetapi tidak punya hati?


NAZIM MASNAWI seorang penulis, penterjemah dan penggemar filem.