BERITA Malaysiakini

Petrol RON95 kini RM1.91 seliter

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Harga runcit minyak petrol RON95 turun kepada RM1.91 seliter mulai tengah malam ini.

Manakala harga diesel pula turun kepada RM1.93 seliter dan RON97 pula turun kepada RM2.11 seliter.

“(Harga) minyak turun lagi. Bila pula peniaga nak turunkan harga barang?

"Rakyat menunggu,” menurut tweet Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan ( kanan ) sebentar tadi.

Petrol RON95 kini dijual pada RM2.26 seliter, RON97 pada RM2.46 seliter manakala diesel pula RM2.23 seliter.

Ahmad pada 19 Disember lalu berkata harga runcit RON95 dan diesel dijangka turun bawah paras RM2 seliter mulai 1 Januari 2015 jika harga minyak dunia kekal menurun.

Katanya, harga runcit itu boleh dicapai kerana bagi 18 hari pertama bulan ini, harga purata minyak RON95 dan diesel jatuh bawah paras RM2 seliter.

Penurunan harga itu, sedikit sebanyak dilihat akibat tekanan pembangkang dan kumpulan pengkritik yang menjalankan kempen intensif menuntut harga RON95 diturunkan kepada RM1.90 seliter.

Tekanan pembangkang, NGO

Kumpulan itu, dikenali sebagai TURUN, pada mulanya bercadang mengadakan perhimpunan besar di ibu negara malam ini sempena ambang tahun baru bagi memberi tekanan kepada kerajaan.

Ia bagaimanapun ditangguhkan ekoran banjir besar yang melanda beberapa negeri, terutamanya di Kelantan.

Pembangkang, melalui Naib Presiden PKR Rafizi Ramli siang tadi berkata, pengguna sepatutnya membayar kurang daripada harga RM1.90 untuk petrol RON95 dan diesel.

Katanya, kadar itu termasuk margin keuntungan dan bayaran balik kos yang dijanjikan kerajaan kepada syarikat pengeluar minyak, sebanyak 32 sen seliter untuk RON95 dan 23 sen seliter untuk diesel.

Beliau memberi alasan, harga pasaran RON95 dan diesel masing-masing sudah pun turun ke paras RM1.43 dan RM1.56 pada 30 Disember.

Kerajaan kini mengguna pakai kaedah apungan terkawal bagi menentukan harga minyak.