Malaysiakini
BERITA Malaysiakini

Interpol buru pembunuh Altantuya

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Polis Antarabangsa (Interpol) hari ini mengeluarkan notis merah memburu bekas polis elit Koperal Sirul Azhar Umar yang disabitkan bersalah membunuh warganegara Mongolia Altantuya Shaariibuu.

Menurut laman webnya, Interpol menyebut lelaki 43 tahun itu dikehendaki pihak berkuasa Malaysia untuk menjalani sabitan hukuman dalam kes pembunuhan.

Sirul, tertuduh kedua kes pembunuhan Altantuya tidak hadir ke pendengaran akhir kesnya di Mahkamah Persekutuan pada 13 Januari lalu kerana dikatakan “tidak cukup wang” untuk pulang dari Australia.

Mahkamah Persekutuan pada hari itu menjatuhkan hukuman mati ke atasnya dan tertuduh pertama Cif Inspektor Azilah Hadri selepas didapati melakukan perbuatan itu sembilan tahun lalu.

Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria sebulat suara mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan pada 23 Ogos 2013 yang membebaskan dua anggota Unit Tindakan Khas (UTK) itu selepas membenarkan rayuan mereka.

Bagaimanapun timbul masalah untuk hukuman dijalankan ke atas Sirul apabila undang-undang ekstradisi menyatakan  bahawa Australia tidak akan memenuhi permintaan penghantaran pulang bagi individu berdepan hukuman mati.

Malaysia juga dilapor mungkin membawa kes Sirul ke mahkamah Australia jika negara itu enggan mengekstradisinya.

Peguam Sirul pula berkata akan memfailkan saman di Kuala Lumpur untuk mencabar perkara itu.