BERITA

Gambar tunjuk Saravanan bawa pistol

Diterbitkan
Dikemaskini 30 Jan 2015, 6:51 pagi

Satu gambar menunjukkan seorang timbalan menteri Datuk M Saravanan dengan satu senjata api tersentil di pinggang seluarnya menjadi perhatian meluas di Facebook hari ini.

Gambar berkenaan dirakam di luar ibu pejabat MIC di Kuala Lumpur pada hari Rabu lalu, yang menjadi tempat sidang media Saravanan.

Sidang media itu berlangsung dalam suasana yang dilaporkan tegang.

Sebelum sidang media itu, seramai kira-kira 20 orang individu yang didakwa diupah oleh pihak lawan Saravanan cuba menyekat beliau daripada memasuki bangunan berkenaan, yang menimbulkan kekecohan.

Gambar itu juga menunjukkan bahagian pemegang pistol yang diperbesarkan.

Bercakap kepada Malaysiakini, Saravanan berkata beliau memiliki lesen untuk pistol jenis Glock itu dan tidak pernah mengacukannya kepada sesiapa.

"Saya membawa senjata api berlesen sejak 15 tahun lalu atas sebab keselamatan. Tiada apa masalah. Saya perbaharui lesen setiap tahun.

"Senjata itu biasanya disimpan di dalam kereta saya.

"Tetapi pada hari itu, ia berada dalam sarung dan saya percaya dalam kekecohan itu kot saya bergerak sedikit yang mendedahkan hulu pistol tersebut.

“Saya tidak mengacukannya kepada sesiapa,” katanya.

Malaysiakini difahamkan bahawa polis akan berbincang dengan timbalan menteri itu berhubung cara beliau membawa senjata api tersebut.

Menurut polis, senjata api tersebut perlu dibawa dengan amat berhati-hati untuk mengelakkan keadaan berbahaya seperti diragut dalam pergelutan atau sebagainya.

[Baca berita asal]

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.

Iklan