Malaysiakini BERITA

Nurul: Bapa masih kelihatan bersemangat

Zulaikha Zulkifli  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Anak sulung Datuk Seri Anwar Ibrahim, Nurul Izzah memberitahu, walaupun bapanya masih kelihatan bersemangat, namun tubuh badannya kini semakin susut.

Ketika bertemu dengan ketua pembangkang itu selama kira-kira 45 minit kelmarin, Nurul berkata keadaan itu disebabkan Anwar berpuasa semasa di dalam penjara.

"Alhamdulillah kami berasa amat bagus bukan sahaja dengan keadaan ayah kami.

"Kami teruskan pertemuan dan diberi 45 minit  secara "no contact visit". Alhamdulillah keluarga terdekat semua hadir.  

"Beliau kelihatan bersemangat walaupun kelihatan sedikit kurus kerana beliau berpuasa di penjara," kata Nurul ketika ditemui pemberita selepas melawat kediaman bekas menteri besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Pulau Melaka, malam tadi.

Selain itu, naib presiden PKR itu berkata, walaupun keadaan Anwar sedemikian, namun ahli parlimen Permatang Pauh itu masih lagi istiqamah dengan perjuangannya.

"Beliau ingatkan bahawa komitmennya yang beliau masih lagi istiqamah walaupun menangisi pemergian Nik Aziz," katanya.

Anwar menjalani hukuman penjara lima tahun selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan terakhirnya terhadap sabitan tuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Semalam, satu imej diletakkan di Facebook PKR yang memetik Anwar menyuarakan kesedihannya yang amat sangat ekoran pemergian Nik Aziz itu.

"Untuk TG Nik Aziz, saya amat sedih dengan berita itu. Saya terharu dengan keperihatinan beliau selama ini kepada saya secara peribadi dan juga kepada keluarga. Kehilangan beliau ibarat terpadam satu 'KERDIPAN/KERLIPAN' bintang kerana dia seorang tokoh alim negara.

"Kebangkitan rakyat diperlukan demi masa depan Malaysia yang terjamin daripada kezaliman, insha Alla. Jangan titiskan air mata, terus berjuang."