Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar berkata, beliau akan ke Australia untuk bertemu Sirul Azhar Umar pada minggu hadapan.

Katanya, beliau akan ke Sydney bersama ibu Sirul, Piah Samad, seorang adik Sirul, seorang pegawai Mahfuz dan peguam.

Bagaimanapun, maklumat lanjut mengenai perlepasan itu akan diberitahu pada Jumaat ini, kata Mahfuz.

"Saya akan beritahu semua maklumat Jumaat ini.

“Kita akan pergi ke Australia minggu depan," katanya pada sidang media di ibu pejabat PAS hari ini.

Selain itu, Ahli Parlimen Pokok Sena itu juga berharap agar Piah dapat bertemu dengan Sirul dan seterusnya membuktikan bahawa selama ini beliau sememangnya berkomunikasi dengan bekas polis itu.

"Kita harap perjalanan kami akan selamat dan dia (ibu Sirul) dapat bertemu dengan anak yang disayangi kerana ibu dia sangat rindukan anak dia.

"Saya pasti, Insya-Allah saya akan bertemu dia (Sirul) dan ibu dia tidak akan berbohong dan ibu dia akan beritahu, itulah Sirul.

"Jumaat nanti saya akan beritahu pemergian saya kerana masih ada beberapa perkara yang nak diselesaikan dan akan beritahu tarikh waktu pemergian saya ke sana," kata Mahfuz yang akan ke Sydney selama seminggu.

Sebelum ini, PAS melahirkan hasrat mereka untuk membawa Piah, 74, ke Sydney di mana Sirul ditahan oleh Jabatan Imigresen negara itu.

Kali terakhir Piah bertemu Sirul dikatakan ketika Mahkamah Rayuan membebaskan anak keempatnya itu daripada tuduhan.

Sirul pada 13 Januari lalu diputuskan bersalah membunuh Altantuya bersama Azilah Hadri. Mereka dijatuhi hukuman gantung oleh Mahkamah Persekutuan.

Sirul tidak dapat dibawa pulang oleh kerajaan Malaysia kerana undang-undang Australia tidak membenarkan seseorang yang berdepan hukuman mati diekstradisi ke negara hukuman disabitkan.

Lagi berita dari pengarang :
Lagi berita seperti ini :
Lihat Komen
ADS
Paling Popular
Terkini
ADS