Malaysiakini BERITA

Ismail Sabri mahu Anwar taubat sebelum diampun

Kow Gah Chie  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mesti bertaubat secukupnya sebelum layak diberi pengampunan bagi jenayah liwat oleh lembaga pengampunan, kata seorang menteri Umno.

 

Ditanya pada sidang media sama ada Anwar perlu bertaubat sebelum beliau boleh diberi pengampunan, Menteri Pertanian dan Industri Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjawab "ya!"

"Biasanya orang minta ampun selepas menjalani hukuman penjara selepas beberapa tahun.

"Kelakuan baik dalam penjara sepatutnya menjadi alasan untuk kurangkan hukuman atau mohon ampun," katanya.

Tegas Ismail, pengampunan juga biasanya dipohon selepas berkelakukan baik - dan bukan atas alasan mencari keadilan.

 

Ismail yang juga ahli Majlis Tertinggi Umno berkata pemimpin pembangkang itu hanya "bermain politik".

Anwar, dakwa Ismail memohon pengampunan diraja semata-mata untuk mengelakkan dirinya dilucutkan kelayakan sebagai ahli Parlimen Permatang Pauh.

 

Hakikat bahawa Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail membawa anak-anaknya bersama-sama untuk memohon pengampunan dari Yang di-Pertuan Agong, Ismail berkata, adalah satu strategi untuk mendapat belas kasihan.

"Biasanya peguam yang pergi tetapi ini isteri bawa anak dan cucu - ini strategi untuk tarik simpati," katanya.

 

[Baca berita asal]