Malaysiakini BERITA

KB calon Tuan Ibrahim lawan Hadi

Anne Muhammad  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Ura-ura bahawa Kota Bharu akan menjadi kawasan pertama PAS mencalonkan pencabar Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk jawatan presiden menjadi kenyataan malam ini.

Perkara itu dimuktamadkan sebentar tadi apabila mesyuarat jawatankuasa kawasan itu bagi memutuskan perkara itu.

Seperti disebut-sebut, Naib Presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man ( bawah ) dicalonkan bagi berdepan Hadi yang sudah menerajui PAS hampir 15 tahun selepas pemergian allahyarham Datuk Fadzil Noor.

Pemimpin kanan bahagian itu ketika dihubungi petang tadi enggan mendedahkan siapa tokoh yang bermain di fikiran mereka tetapi hanya menjelaskan "bukan naib presiden Datuk Husam Musa".

Mesyuarat agung tahunan kawasan itu sebelumnya memberi mandat kepada anggota jawatankuasa pusatnya untuk memutuskan pencalonan jawatan tertinggi untuk pemilihan PAS Jun ini.

Sidang media diadakan malam ini di Pejabat PAS Kawasan Kota Bharu.

Menurut perlembagaan, seseorang anggota PAS memerlukan dua pencalonan untuk melayakkan mereka bertanding.

Sebanyak 27 jawatan peringkat pusat dipertandingkan.

Pemilihan PAS dijadual berlangsung semasa Muktamar PAS ke-61 pada 4 hingga 6 Jun tahun ini.