Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PAS Kota Bharu menjelaskan mereka mencalonkan Naib Presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mencabar Datuk Seri Abdul Hadi Awang kerana presiden PAS itu mengalami masalah kesihatan.

“Saya yakin Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak akan menerima pencalonan selaku presiden untuk sesi baru atas keuzuran belia dan itu keyakinan peribadi saya.

“(Sebelum ini) dia masuk hospital di Istanbul, dia masuk Institut Jantung Negara (IJN), faktor tahap kesihatan dia. Dia (Hadi) sudah 37 tahun terlibat dengan PAS,” kata ketuanya Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah ketika dihubungi Malaysiakini .

Hadi November lalu mengakui beliau mengalami masalah kesihatan dan badannya semakin susut.

Malam semalam, nama Tuan Ibrahim diumumkan akan menjadi pencabar bagi jawatan Presiden PAS dalam pemilihan akan datang.

Wan Rahim menambah, Tuan Ibrahim adalah individu yang akan membuatkan Hadi selesa memandangkan beliau merupakan anak didik Hadi dan dekat dengannya.

“Saya yakin dia tak akan menerima pencalonan jadi bila saya kemukakan nama Tuan Ibrahim, dia selesa kerana dia sendiri yang tarbiah, dia didik dan dia yakin anak buah dia sendiri,” katanya.

Tambahnya lagi, nama kontroversi seperti Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa dan Timbalan Presiden Mohamad Sabu tidak dicalonkan demi perpecahan parti seperti berlaku pada tahun 1982.

“Kita tak kemukakan tokoh kontroversi seperti Husam dan Mat Sabu , kita kemukakan (Tuan) Ibrahim.

“Bagi saya perpaduan parti perlu dijaga, keutuhan ahli kita tidak mampu untuk menghadapi perpecahan parti seperti tahun 1982,” katanya.

Pemilihan PAS dijadual berlangsung semasa Muktamar PAS ke-61 pada 4 hingga 6 Jun tahun ini.

Lihat Komen
ADS