Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Bekas menteri besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Selangor memerlukan pemimpin baru sekiranya isu penstrukturan industri air di negeri itu masih belum dimuktamadkan.

Sambil mengatakan tempoh "bulan madu" Menteri Besar Azmin Ali sudah berakhir, ADUN Pelabuhan Klang itu berkata, isu penstrukturan air perlu diselesaikan segera demi kepentingan rakyat Selangor.

"Tempoh bulan madu sudah berakhir malah kita mesti berusaha untuk kita hentikan usaha politik dan menentukan bahawa rakyat mesti diutamakan. Kita tunjukkan pada mereka (rakyat) bahawa kesinambungan dan usaha kita seperti dijanjikan pada pilihan raya lepas dapat dilakukan.

"Sekiranya masih gagal menyelesaikan perkara ini (penstrukturan industri air), kita kena menerima hakikat bahawa tindakan mesti diambil.

"Mesti cari kepimpinan yang dapat beri hasil dan kepuasan kepada rakyat. Saya tidak berminat dalam hal kepimpinan ini. Saya minta Dewan bersedia untuk membuat perubahan," katanya.

Beliau berkata demikian semasa memberikan ucapan menjunjung titah Sultan Selangor di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.

'Dakwaan songsang'

Sebelum ini Azmin berkata perjanjian penstrukturan industri air antara Selangor dan kerajaan persekutuan lupus secara automatik apabila Putrajaya cuba mengambil alih 26,000 kilometer jajaran tanah Selangor.

Katanya, perjanjian sebelum ini hanya melibatkan pemindahan aset air dan bukan tanah.

Mengulas kenyataan ADUN Bukit Antarabangsa itu, Khalid berkata dakwaan itu "songsang" memandangkan Selangor telah pun hilang kedaulatan ke atas jajaran tanah tersebut.

"Dakwaan songsang yang mengatakan kononnya Selangor akan hilang kedaulatan ke atas 26,000 kilometer jajaran tanah di mana aset berkaitan air seperti paip, loji dan sebagainya akan dipindah milik secara mutlak kepada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).

"Untuk makluman Dewan, kita sudah hilang aset berkaitan air semasa aktiviti huluan dan hiliran yang dikendalikan oleh kerajaan negeri kemudian dikorporatkan menjadi Perbadanan Urus Air Selangor (PUAS) pada 2002 yang kemudian diswastakan kepada Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) pada 2005," kata Khalid.

Selain itu, Khalid turut beranggapan bahawa kenyataan Azmin yang mengaitkan kerajaan Persekutuan ingin memiliki aset tanah tersebut kerana isu hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai lucu.

Khalid berkata, perkara itu tiada kaitan sama sekali memandangkan perjanjian tersebut sudah termaktub di dalam Akta Perkhidmatan Industri Air 2006.

Perjanjian air Selangor-Pusat ditandatangani ketika pentadbiran Khalid sebelum ini ( atas ).

Lihat Komen
ADS