Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin menafikan dakwaan bahawa wujud gerakan untuk menjatuhkan presidennya.

Khairy berkata selaku anak jantan, perkara itu tidak mungkin akan berlaku kerana beliau tidak akan menyuruh anak buahnya berbuat demikian.

Sambil mengumpamakan dirinya tidak akan 'baling batu sembunyi tangan', ahli Parlimen Rembau itu berkata, beliau sehingga ini menyokong kepimpinan Datuk Seri Najib Abdul Razak.

"Saya anak jantan, saya bukan baling batu sembunyi tangan. Sorry lah kalau nak minta macai saya buat gerakan.

"Kalau saya tak setuju, saya kata tak setuju. Kalau tak sokong, saya cakap tak sokong presiden. Tetapi saya sokong presiden," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di pusat penamaan calon pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh hari ini.

Sebelum ini, blog pro-Umno, MYKMU mendakwa memiliki bukti ke atas dakwaan mereka berhubung usaha di kalangan Pemuda Umno untuk menggulingkan presiden parti itu, Datuk Seri Najib Razak.

Menurut blog tersebut, komplot berkenaan dinyatakan dalam satu laporan yang akan dihantar kepada Najib.

Sementara itu, Khairy berkata tindakan portal pro-Umno tersebut dilihat sengaja ingin melagakan antara pemimpin Pemuda dan Presiden Umno.

Ketika ditanya adakah pihaknya akan mengambil tindakan terhadap portal tersebut, Khairy berkata perkara itu hanya membuang masa.

"Saya melihat ini adalah usaha untuk melagakan presiden dan Pemuda Umno. Sebab dia punya implikasi adalah bahawa (gerakan) ini bermula dari Pemuda dan saya pun tahu tentang gerakan tersebut.

"Portal ini kerja dia melagakan pemimpin. Mengadu-domba pemimpin dalam Umno. Kalau kita nak layan, portal portal ni tiap-tiap hari buang masa kita.

"Yang penting kita dah bagi penjelasan," katanya lagi. 

Lihat Komen
ADS