Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Demi mempertahankan alasannya mendesak Datuk Seri Najib Razak melepaskan jawatan sebagai perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menyatakan secara terbuka kesediaannya berdebat dengan perdana menteri.

Sambil tersenyum, Dr Mahathir berkata, dia juga mempunyai kebolehan untuk berdebat.

"Saya adalah sikit kebolehan dalam bidang debat ini. Kalau nak debat, OK lah," kata Mahathir sambil mendapat tepukan dan sorakan gemuruk daripada kira-kira 2,000 hadirin yang tekun mendengar ucapannya di Ipoh, Perak hari ini.

Menurut bekas perdana menteri itu, kesanggupannya itu dibuat berhubung pelbagai isu yang dibangkitkannya sebelum ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan sama ada bersedia untuk berdebat dengan Najib pada program Bicara Negara di Ipoh petang ini.

Menjawab soalan hadirin, Dr Mahathir berkata untuk membuat undi tidak percaya terhadap Najib amat sukar memandangkan ia memerlukan sokongan bukan sahaja ahli Umno tetapi BN.

Malah, beliau turut berpendapat ahli Umno tidak akan membuat undi tidak percaya kerana takut dan ingin menjaga kepentingan diri mereka sendiri.

"Sebenarnya Parlimen boleh menjatuhkan Najib dengan buat undi tidak percaya kepadanya, tetapi ahli Umno bukan majoriti. Dia terpaksa dapat sokongan dari ahli BN.

"Saya dapati bahawa ahli Umno agak lemah dan mereka tak berani buat apa pun. Mereka takut nanti masa pilihan raya umum tak jadi calon kot. Tak tahulah.  

Dr M sedia dipecat

"Tapi masing-masing takut belaka dan nak jaga kepentingan diri. Sebab itu kalau nak ada undi tak percaya, sukar," kata Dr Mahathir.

Ditanya sama ada beliau bersedia sekiranya Najib memecatnya sebagai ahli Umno, Dr Mahathir berkata: "Itu soalan ke? Kalau dia nak pecat saya, pecat. Saya dah pernah kena pecat masa Tunku (Abdul Rahman) lagi."

Sementara itu, ketika berucap, Dr Mahathir sempat melahirkan rasa terharunya dengan kehadiran orang ramai pada program anjuran Umno bahagian Gopeng itu.

Dengan sinis, Mahathir berkata kehadiran orang ramai pada hari ini berbeza dengan program yang dihadiri oleh orang ramai yang membawa sepanduk bertulis "I Love PM".

"Saya rasa terharu dengan orang ramai yang berhimpun hari ini. Mereka ini berhimpun bukan berasaskan ada makanan, naik bas atau dapat sepanduk "I Love PM".

"Saya berpendapat apa yang ada dalam parti lebih berharga daripada sepanduk-sepanduk.

"Kalau baca dalam surat khabar tulis 'kami sokong' (perdana menteri). Hati lain, sepanduk lain, mulut cakap lain," kata Mahathir sambil ketawa.

Lihat Komen
ADS