Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak sangat yakin pelan pemulihan untuk mengurangkan hutang 1MDB akan berhasil dengan kerjasama Kementerian Kewangan.

"Langkah pemulihan boleh kita lakukan untuk mengurangkan jumlah hutang 1MDB dan inilah perkara yang sedang diusahakan kerajaan.

"Saya yakin MoF (Kementerian Kewangan) boleh sama-sama memastikan pelan pemulihan itu dapat dilaksanakan walaupun kita berdepan dengan begitu banyak kritikan.

"Lambat laun kita boleh membuktikan bahawa langkah menyelamat atau memulihkan 1MDB boleh dicapai matlamatnya," katanya dalam perhimpunan bulanan kementerian itu pagi ini.

Perhimpunan bulanan itu turut di hadiri Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan;  Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah; Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah dan kakitangan kementerian itu.

Najib yang juga menteri kewangan berkata, soal 1MDB akan dijawab sedikit masa lagi apabila Jabatan Audit Negara akan membentangkan laporan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Ahad lalu, dalam catatan terbarunya di blognya, beliau meminta orang ramai agar tidak membuat spekulasi atau kesimpulan mengenai 1MDB tanpa bersandarkan maklumat yang akan diumumkan Ketua Audit Negara.

Kata Najib, jika ikhlas mencari kebenaran di sebalik isu itu, rakyat harus mendapatkan maklumat daripada sumber sahih, bukan daripada portal berita atau blog pihak ketiga yang mempunyai agenda tersembunyi.

Katanya lagi, tidak adil bagi segelintir ahli politik untuk 'menghukum kerajaan dalam mahkamah persepsi awam' sebelum fakta sebenar diumumkan.

Lihat Komen
ADS