Malaysiakini BERITA

PM: Cadangan kenaikan tol dibocor pengkhianat

Radzi Razak  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Malaysiakini

Pihak yang membocorkan maklumat mengenai cadangan kenaikan tol lebuh raya telah mengkhianati kepercayaan diberi kabinet, kata Datuk Seri Najib Razak.

Bercakap kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi BN di Kuala Lumpur malam tadi, beliau berkata, perbuatan itu menyebabkan berlaku sentimen negatif terhadap pentadbirannya.

Perdana menteri juga menegaskan keputusan menaikkan kadar tol berkenaan belum dimuktamadkan.

"(Kabinet) membincangkan isu ini (semalam) tetapi butirannya seperti bagaimana ia dilaksanakan, akan diputuskan pada beberapa minggu mendatang.

"Justeru apa yang terbocor dari kabinet belum muktamad.

"Malangnya berlaku kebocoran melalui media sosial dan perkara ini digembar-gemburkan," katanya.

Najib juga kecewa apabila ada pihak tertentu yang dianggap tidak beretika serta mengkhianati kepercayaan kerajaan kerana membocorkan maklumat berkenaan.

Sementara itu sumber memberitahu Malaysiakini , majoriti anggota kabinet bersetuju menaikkan kadar bayaran tol untuk 16 daripada 19 lebuh raya di negara ini.

Begitu juga dengan laporan Berita Harian yang menyatakan kadar bayaran tol untuk 16 lebuh raya akan dinaikkan antara 20 sen hingga RM1 mulai Ogos ini.

Bagaimanapun jurucakap pemegang konsesi lebuh raya memberitahu Bernama mereka tidak tahu menahu mengenai perkara berkenaan.

[Baca berita asal]