Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Azizah: Perlu semak kerjasama Pakatan
Diterbitkan:  Jun 15, 2015 2:30 PM
Dikemaskini: 6:36 AM

Wujud keperluan mendesak untuk menyemak bentuk kerjasama Pakatan Rakyat susulan masalah dalaman yang melanda, kata Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Ismail.

"PKR mengakui bahawa wujudnya masalah dalam Pakatan Rakyat yang memerlukan perhatian segera para pimpinan untuk menangani masalah ini dengan penuh bijaksana.

"Adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap Pakatan dalam perjuangan menuntut perubahan.

"Isu-isu bersama yang menuntut reformasi ekonomi dan pendidikan, pembanterasan gejala rasuah dan salah guna kuasa serta menentang kezaliman Umno-BN harus diperjuangkan terus," katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu dikeluarkan di saat hubungan PAS-DAP semakin meruncing. Semua ini susulan muktamar PAS meluluskan usul memutuskan hubungan dengan DAP.

Wan Azizah yang juga ketua pembangkang mengemukakan model pentadbiran Selangor sebagai bukti kejayaan kerana berpegang kepada dasar bersama Pakatan.

"(Model pentadbiran itu) telah menghasilkan kejayaan dalam beberapa dasar termasuk dasar perumahan, bantuan mikrokredit dan pendidikan mampan yang kini menjadi pemangkin dalam kita menuntut perubahan lanjut di peringkat pusat," katanya.

Sehubungan itu, MP Permatang Pauh itu menyeru kepada semua pimpinan tertinggi PKR agar berusaha menggilap dan memperkukuhkan muafakat yang dipupuk sejak 15 tahun yang lalu.

"Solidariti tahaluf siyasi (kerjasama politik) sebegini telah menangkap imaginasi rakyat dan memberikan harapan baru kepada Malaysia,” katanya.

Lihat Komen
ADS